top of page
  • newsatmy

Polis masih tunggu laporan penuh siasatan punca sebenar kecederaan

4 Februari 2021


MELAKA – Hasil bedah siasat selama hampir 11 jam yang dijalankan terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, kelmarin menemui banyak kesan kecederaan di kepala dan belakang badan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, bagaimanapun pihak polis masih menunggu laporan penuh siasatan berhubung punca sebenar kecederaan tersebut.


“Hasil bedah siasat telah selesai dijalankan, namun kita masih belum menerima laporan penuh kerana doktor masih menunggu maklumat lanjut daripada bahagian makmal untuk mengesahkan punca kematian.


“Bagaimanapun kita dimaklumkan memang ada kesan kecederaan terutama di bahagian kepala dengan terdapat kesan luka baru sebesar tiga sentimeter.

“Selain itu, terdapat juga kesan luka baru dan lama diseluruh anggota termasuk di belakang badan,” katanya ketika sidang media di pekarangan luar Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini, hari ini.


Jelasnya, maklumat makmal itu merangkumi hasil dapatkan dari spesimen yang diambil termasuk dari bahagian paru-paru, jantung, hati dan bahagian abdomen lain.

Katanya, setakat ini, pihaknya yakin kecederaan itu berpunca daripada objek tumpul.

“Kita masih menyiasat sama ada mangsa memperoleh kecederaan itu disebabkan dia terjatuh atau perlakuan oleh mana-mana individu (didera).

“Kita juga masih belum dapat mengesahkan sama ada kanak-kanak itu mati akibat lemas seperti yang didakwa bapa tirinya ketika membuat laporan, kelmarin,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau turut menafikan dakwaan segelintir netizen yang mengatakan kanak-kanak tersebut telah lama meninggal dunia.

“Berdasarkan keadaan fizikal mangsa ketika ditemui, dia dianggarkan baru sahaja meninggal dunia, kira-kira kurang dua jam.

“Semua dakwaan netizen yang mengatakan kanak-kanak itu telah lama meninggal dan badannya kembung serta sebagainya adalah tidak benar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan jenazah, Mohd. Sukri berkata, jenazah kanak-kanak itu akan diserahkan kepada waris untuk proses pengebumian.

bottom of page