top of page
  • newsatmy

Polis nafi terdapat unsur serangan seksual terhadap Sajat

22 oktober-KUALA LUMPUR

Polis telah menafikan laporan dari Nur Sajat Kamaruzzaman mengenai serangan seksual terhadapnya yang dilakukan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada bulan Januari lalu. Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, menjelaskan hanya menerima laporan bahawa Sajat diserang oleh pegawai Jais ketika siasatan dijalankan. "Kami buka siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan. "Tidak ada laporan mengenai serangan seksual atau cabul dalam laporan polis," kata Arjunaidi seperti dipetik oleh The Star. Ketika temu bual bersama New York Times, Sajat mendakwa dia diserang dan dicabul semasa disoal siasat oleh pegawai Jais. Dia mendakwa sekurang-kurangnya tiga lelaki terlibat menekan dan meraba payudaranya. Sajat kemudian ditangkap dan didakwa di Mahkamah Syariah pada hari yang sama sebelum ditempatkan di pusat tahanan untuk lelaki.

Selain itu, Sajat juga mendakwa kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan yang dilakukan oleh individu yang mempunyai ilmu agama. Sajat mendakwa pegawai terbabit mengatakan dirinya adalah seorang lelaki dan tiada masalah melakukan perbuatan itu.

Sajat yang merupakan seorang transgender, telah melarikan diri ke Thailand setelah pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah. Laporan dari Thailand, Nur Sajat telah ditahan oleh pihak imigresen Thailand di Bangkok setelah kerajaan Malaysia membatalkan pasportnya. Maklumat terkini,Sajat ke Australia dan mendapat perlindungan menggunakan Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).



bottom of page