• newsatmy

Polis panggil Neelofa, PU Riz isu tular rentas negeri beli karpet di Nilai 3

4 Mei 2021

NILAI: Selebriti Neelofa terus mencetuskan kontroversi di media sosial apabila sekali lagi dia didakwa 'merentas negeri' ke Pusat Perniagaan Nilai 3 di Negeri Sembilan.


Pada Ahad, Neelofa dipercayai ada memuat naik video di Instagram Story yang menunjukkan dia berada di sebuah kedai karpet yang dipercayai di Nilai 3, sebelum bertindak memadamkannya.


Tindakan Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor itu sekali lagi mengundang sensasi pada kalangan warganet dengan tindakan beraninya 'merentas negeri' pada ketika seluruh Selangor dan Kuala Lumpur masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Meskipun baru sahaja didenda sebanyak RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB ketika majlis perkahwinan yang berlangsung 27 Mac lalu, namun itu sedikit pun tidak memberi kesan kepada selebriti terkenal negara.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superitandan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pada 3 Mei lalu, pihaknya telah menjalankan siasatan berkaitan gambar dan video Noor Neelofa Mohd Noor serta suami di laman sosial, ketika berada di sebuah premis perniagaan Nilai 3.


Katanya, pihaknya akan memanggil pasangan selebriti tersebut untuk memberi keterangan dalam masa terdekat ini.


-Astro Awani