top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Polis rakam keterangan pengurus majlis perkahwinan

2 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Kegembiraan keluarga yang menganjurkan majlis perkahwinan sehingga tular baru-baru ini bakal berakhir dengan penyesalan.


Polis telah merakam keterangan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penganjuran majlis perkahwinan ketika tempoh Perintah kawalan pergerakan (PKP) di sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, terdahulu gambar majlis berkenaan menjadi tular di media sosial.


"Hasil siasatan pihak polis mendapati, terdapat individu yang berkumpul tanpa penjarakan fizikal,


"Penganjur telah menyewa dewan tersebut daripada syarikat pengurus perkahwinan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Difahamkan, wanita berkenaan merupakan pengurus lokasi majlis dan polis akan turut memanggil individu yang terlibat dalam majlis tersebut.


Berdasarkan gambar yang tular, individu yang hadir ke majlis perkahwinan itu didapati tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan sosial ketika bergambar.


Menurut Sarathanan, siasatan polis menjurus kepada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP dan disiasat mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.


Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Mirza Che Ab Wahi di talian 012-9457503 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Salina Zolkopli di talian 011-1234405 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.



--PN Online

bottom of page