top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Polis siasat penglibatan ahli politik, NGO dalam perhimpunan

23 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat penglibatan beberapa Ahli Parlimen, ADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam perhimpunan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) di Bangsar semalam.


Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


Amihizam, dalam satu kenyataan, berkata kira-kira 50 orang yang memakai baju hitam mula berkumpul di LRT Bangsar mulai 10.45 pagi.


“Kira-kira jam 11.45 pagi, dianggarkan 400 peserta yang membawa sepanduk bercetak ‘Tangkap’ mula bergerak ke Jalan Travers sehingga persimpangan lampu isyarat ke pekan Brickfields,” katanya.


Beliau berkata peserta perhimpunan itu kemudian bergerak semula ke LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat 30 minit kemudian selepas ketua dewan berucap.


Amihizam berkata 21 pegawai polis dan 205 lelaki daripada pelbagai unit termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) terlibat memantau perhimpunan itu.

bottom of page