top of page
  • newsatmy

Politik Sabah: Dakwaan Bung terhadap Hajiji tidak benar - Masidi


KOTA KINABALU 7 Jan: Dakwaan Pengerusi Barisan Nasional Sabah (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai locus standi (hak berdiri) untuk terus menjadi Ketua Menteri adalah tidak benar.


Menurut Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun, Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang dipetik Bung jelas menunjukkan bahawa tiada satu parti pun berjaya memperolehi lebih 50 peratus daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).

Justeru, katanya pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri merupakan keputusan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berdasarkan Fasal 6(3) dengan mengenepikan Fasal 6(7) yang tidak berkaitan dengan isu tersebut. "Selepas PRN16, TYT akan memilih ADUN yang pada hemat beliau akan mendapat kepercayaan majoriti ADUN berdasarkan Fasal 6(3).

"Fasal 6(7) pula menyatakan apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam DUN, pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti.


"Pada PRN 2020, tiada satu pun parti politik memenangi lebih 50% daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

"Oleh itu, berikutan tafsiran Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Perkara 6(7) (kes Tan Sri Musa Aman dan Juhar), TYT pertama kali memerhatikan bahawa tiada satu parti politik pun memenangi lebih daripada 50% kerusi DUN dan dengan itu mengenepikan Perkara 6(7) kerana ia tidak terpakai.

"TYT kemudiannya menggunakan kuasanya secara tepat di bawah Perkara 6(3) dan melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri.

"Oleh itu, Hajiji secara perlembagaan dan sahnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri mengikut undang-undang dan mandat demokrasi rakyat Sabah," ujar Masidi dalam satu kenyataan awal pagi ini.


Masidi yang merujuk kepada kes di antara Musa dan Juhar sewaktu pergolakan politik pada 2018 turut menegaskan, definisi majoriti di dalam Fasal 6(7) dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai 'lebih daripada 50 peratus' jumlah kerusi dan bukannya 'mempunyai kerusi terbanyak' bagi satu-satu parti politik.


Oleh itu, katanya, tuduhan Bung bahawa Hajiji tidak mempunyai locus standi untuk terus menjadi Ketua Menteri berdasarkan Fasal 6(7) tidak mempunyai merit sama sekali.

"Ini kerana, Hajiji bersama semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti pada Disember lepas merupakan ahli langsung GRS.

"Terdapat lebih daripada cukup majoriti ADUN, dan GRS merupakan parti politik terbesar dalam DUN Sabah," tambahnya.


Pada masa sama, beliau turut berharap agar pemimpin politik yang terlibat menunjukkan rasa hormat terhadap TYT dengan tidak mengheret institusi istana ke dalam perebutan kuasa yang sedang berlaku ketika ini.


Tambahnya, sebarang cubaan membawa akuan bersumpah kepada Juhar tidak harus digalakkan.

"Takrifan 'majoriti' dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Tan Sri Musa Aman lawan Tun Juhar & Anor (2019) di mana Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menyatakan 'majoriti' itu bukan bermaksud 'kerusi terbanyak' tetapi lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.

"Adalah menjadi asas kepada Perlembagaan Sabah bahawa TYT tidak boleh diheret ke dalam agenda politik, pertikaian atau perebutan kuasa.

"Saya berharap pemimpin politik tertentu memerhati perkara ini dan menunjukkan TYT dan institusinya rasa hormat.

"Oleh itu, amalan membawa akuan berkanun yang ditandatangani ke istana baru-baru ini sebagai bukti keyakinan ADUN terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak diingini dan harus dihentikan," katanya.


Semalam, Bung Moktar mendakwa, Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) apabila beliau mengisytiharkan keluar daripada Bersatu, iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.


Menurut beliau, dengan penarikan sokongan kepercayaan itu, Hajiji hilang majoriti di dalam DUN dan tidak layak dilantik sebagai Ketua Menteri.


Astro Awani

bottom of page