top of page
  • admin

PRN enam negeri: Sukar bagi BN-PH rampas Terengganu


TIADA siapa menjangkakan parti Pas bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya mencipta kemenangan besar di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.


Malah, apa yang mengejutkan banyak pihak di negeri ini apabila kemenangan bergaya tersebut turut membabitkan kesemua kerusi Parlimen termasuk yang menjadi kubu kuat UMNO- Barisan Nasional (BN) selama ini, iaitu Besut dan Hulu Terengganu turut bertukar menjadi milik PN.


Justeru, ramai yang berpendapat fenomena ini akan terus berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.


Berdasarkan isu dan perkembangan semasa, penulis turut menjangkakan tiada masalah bagi Pas dan PN mengekalkan momentum kemenangan tersebut.


Ini kerana, momentum kemajuan Terengganu berkonsepkan Berkat dan Sejahtera semakin diterima rakyat termasuk dalam kalangan ahli-ahli UMNO sendiri.


Ada kalangan penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu berpendapat kesederhanaan yang diamalkan dalam kepimpinan kerajaan negeri ketika ini bukan sahaja mampu mempertahankan kemenangan melebihi dua pertiga.


Sebaliknya, kemenangan dan penguasaan dijangka turut meningkat dengan merampas kerusi-kerusi berpengaruh dimiliki UMNO-BN sejak sekian lama.


Hal ini disebabkan sejak kebelakangan ini semakin ramai orang UMNO tidak bekenan dan kurang bersetuju dengan setiap keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Antarannya termasuklah isu campur tangan dalam pemilihan calon yang bertanding untuk kerusi parlimen pada PRU15 lalu.


Kedegilan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan melepaskan jawatan sebagai tanda tanggungjawab ekoran kekalahan besar parti itu dalam PRU15 walaupun banyak desakan dibuat oleh ahli-ahli UMNO juga antara faktor yang dikatakan boleh mendorong kekalahan BN nanti.


Selain itu tindakan UMNO bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan juga tidak disenangi ahli-ahli parti berkenaan.


Ini kerana, dalam gabungan PH terdapat juga parti DAP di mana bagi konteks negeri Terengganu, pengundi Melayu terlalu sukar untuk bekerjasama dan bersekongkol dengan DAP.


Ia terbukti ketika pas bersama Pakatan Rakyat sebelum ini yang turut dianggotai DAP, parti itu gagal memerintah negeri akibat tidak mampu menawan hati pengundi Malayu.


Selain itu, tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dikatakan ‘mengguna’ Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk meluluskan usul tergempar tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden juga menyebabkan ahli-ahli parti semakin menyampah dengan kepimpinan parti.


Turut dikaitkan ialah isu sensitif ziarah gereja membabitkan Menteri Belia dan Sukan daripada DAP, Hannah Yeoh baru-baru ini dijangka ‘melunyaikan’ BN-PH dalam PRN di Terengganu nanti kerana ia seakan memberi bola tanggung kepada PN.


Dalam PRU14 lalu, Pas berjaya menumbangkan kerajaan BN setelah menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.


Kerusi dimenangi Pas ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.


Sementara BN pula menang di kerusi Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.


10 kerusi dimenangi BN ini menjadi minat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meletakkan calon mewakili PN.


Melihat kepada isu-isu tersebut, penulis percaya pengundi Terengganu khususnya pengundi baharu dari golongan orang muda berusia 18 tahun tidak mustahil akan terus memilih PN dalam PRN kali ini.

Commentaires


bottom of page