top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Johor: Bersatu yakin kekalkan 11 kerusi DUN

9 Februari 2022

BATU PAHAT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin dapat mengekalkan 11 kerusi DUN Johor yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu.


11 kerusi yang dimenangi di bawah panji Pakatan Harapan (PH) ialah Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin, Permis, Sedili, Johor Lama dan Endau.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau yakin rakyat Johor akan mengundi Perikatan Nasional (PN) berdasarkan rekod prestasi kerajaan pusat pimpinan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata bekas perdana menteri itu walaupun berdepan masalah kesihatan dan ekonomi berjaya membawa Malaysia keluar daripada wabak Covid-19.


“Saya yakin dengan gabungan PAS dan Bersatu atas nama Perikatan Nasional, rakyat Johor akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap rekod prestasi kita.


“Beliau (Tan Sri Muhyiddin) berjaya kerana kepimpinan yang mantap, berintegriti, mampu membawa negara kita keluar daripada wabak (Covid-19).


"Dan juga untuk memulihkan ekonomi Malaysia, ini adalah sesuatu yang saya telah beritahu anda sebelum ini yang tidak boleh dinafikan," kata Azmin pada sidang media selepas Program Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat di sini malam tadi.


Hadir sama, Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat Boo Chin Liong dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon.


Azmin yang merupakan Ahli Parlimen Gombak berkata komuniti perniagaan juga memerlukan kerajaan yang stabil yang seterusnya memberi keyakinan dalam menarik pelabur ke Johor.


Ini bagaimanapun katanya akan terhalang jika kepimpinan kerajaan negara dan negeri lemah dan tidak cekap.


Beliau berkata demikian dalam merayu kepada rakyat negeri selatan supaya membenarkan PN membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh yang mampu mempercepatkan ekonomi serta membawa lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak di Johor.


“Sebab itu mesej saya bukan soal politik, ia demi masa depan generasi kita.


“Masa depan Johor sepatutnya ditentukan oleh rakyat Johor dan rakyat Johor akan menentukannya berdasarkan fakta dan juga kejayaan yang telah dicapai Perikatan Nasional.


“Kami di sini untuk berkhidmat kepada rakyat, kami di sini untuk mengukuhkan ekonomi, kami di sini untuk memberikan kestabilan kepada negeri Johor,” katanya.

bottom of page