top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Johor ini dipaksakan, ambil kesempatan atas kesempitan rakyat - PH Johor

23 Januari 2022

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan Johor kekal dengan pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.


Dalam satu kenyataan hari ini, PH Johor berkata, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya, tatkala isu virus COVID-19, varian Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya belum diselesaikan sepenuhnya.


Selain itu PH Johor berkata, tindakan mencetuskan PRN oleh UMNO sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini akan berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

“Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik. Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi.


“Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?” soal PH Johor lagi.


Kenyataan itu ditandatangani Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH Johor, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.


Mengulas lanjut, PH Johor berkata, mereka cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini.


“Bahkan pelaksanaan pilihanraya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat. Malangnya, UMNO sedikit pun tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar.


“Ini adalah pilihanraya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” menurut kenyataan itu lagi.

bottom of page