• Arissa Azman

PRN Johor: UMNO Perak hantar jentera kempen - Saarani

26 Januari 2022

BATU GAJAH: UMNO Perak akan menghantar jentera untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah yang akan dihantar bagaimanapun, bergantung pada bilangan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditugaskan.


“Bergantung kepada tugasan, saya belum lagi mendapat tugasan secara rasmi, macam di Melaka dulu kita diarahkan jaga dua DUN.

“Tak tahu di Johor berapa kita punya kekuatan jentera, bergantung kepada berapa DUN yang kita perlu jaga,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembangunan projek Bandar Tasik Idaman di sini, pada Rabu.


Pada Selasa, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN boleh mengambil pendekatan yang sama digunakan semasa kejayaan PRN Melaka untuk menghadapi PRN Johor kelak.


Ini kerana, kata beliau, strategi yang digunakan membuktikan kejayaan itu berpihak kepada parti itu.


Menurut Mahdzir, apa sahaja strategi yang diambil akan diberikan sokongan padu oleh jentera parti.