top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Johor: Utamakan calon tempatan - PN

23 Februari 2022

Perikatan Nasional (PN) yang akan meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang mengutamakan calon tempatan.


Setiausaha PN Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, selain anak tempatan, pihaknya memastikan semua calon adalah mereka yang boleh berkhidmat untuk rakyat.


Beliau berkata, rakyat pada masa kini bijak melihat calon terbaik untuk kawasan mereka dan bukan memilih logo parti semata-mata.

"Saya cukup yakin bahawa pengundi akan melihat calon yang terbaik di kawasan mereka. Kami di PN ada gabungan anak muda, gabungan orang yang berpengalaman.


"Di PN, kita ingin memastikan bahawa calon kita merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat untuk masyarakat tempatan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra Setiausaha PN Johor bersama pengamal media di sini, malam tadi.


Dr Sahruddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berkata, senarai calon PN untuk PRN itu sudah dimuktamadkan pada Isnin dan bakal diumumkan Khamis ini.


Senarai itu, katanya, membabitkan kombinasi calon muka baharu, calon wanita dan calon berpengalaman yang terdiri daripada ahli parti gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan.


Pada masa sama, Dr Sahruddin yang juga pernah menjadi Menteri Besar Johor pada April 2019 hingga Februari 2020, yakin beliau bakal dicalonkan semula di kerusi DUN Bukit Kepong yang disandangnya.


Beliau berkata, khidmatnya di DUN itu selama empat tahun membawa banyak pembangunan selain pelbagai bantuan sentiasa disalurkan kepada rakyat.


Bagaimanapun, ditanya mengenai desas-desus beliau bakal dilantik semula sebagai Menteri Besar jika PN memenangi PRN kali ini, Dr Sahruddin berkata, beliau menyerahkan urusan itu kepada pucuk pimpinan parti.

Commentaires


bottom of page