top of page
  • zaman

PRN :Loke tolak spekulasi Ramasamy akan digugur


PETALING JAYA 26 Mac: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menolak laporan berita Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy akan digugurkan sebagai calon, menjelang pilihan raya negeri.


Loke berkata, Pakatan Harapan belum lagi memulakan rundingan kerusi.


“Jadi, kami tidak membincangkan soal calon,” katanya pada sidang media di Klang.


Loke berkata, calon hanya akan diketahui ketika hari penamaan.


Sebelum ini, Ramasamy yang juga Adun Perai, menyatakan rasa terkejut dengan laporan The Star, sambil menyatakan beliau tidak faham dari mana akhbar itu mendapat maklumat memandangkan DAP Pulau Pinang belum menghantar senarai nama calon berpotensi kepada kepimpinan pusat parti.


Ramasamy yang juga bekas profesor sains politik berkhidmat selama tiga penggal sebagai Adun sejak mula bertanding, pada 2008.


Awal hari ini, memetik sumber dalaman DAP, FMT melaporkan mereka bersekutu dengan Ramasamy dalam DAP Pulau Pinang berkemungkinan disingkirkan dalam pemilihan calon parti itu, pada pilihan raya negeri.


Dalam pada itu, diminta mengulas sama ada DAP akan mengenakan tindakan disiplin terhadap Ramasamy susulan kenyataannya melibatkan reformasi perkhidmatan awam, Loke berkata: “Kami sedang menanganinya”.


Bulan lalu, Ramasamy menggesa reformasi dilakukan dalam perkhidmatan awam bagi menggambarkan komposisi kaum di negara ini.


Beliau kemudian menjelaskan gesaan dibuat terhadap reformasi dalam perkhidmatan awam bukan merujuk kepada “monopoli orang Melayu”.


Ulasan Ramasamy itu mengundang kritikan wakil rakyat lain daripada Pakatan Harapan dengan timbul desakan supaya DAP memecatnya kerana menjadi beban kepada kerajaan perpaduan.

bottom of page