top of page
  • newsatmy

Prn Melaka: 70% kempen PAS melalui media sosial

1 November

PAS akan melaksanakan 70 peratus kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui media sosial, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.


Menteri besar Kedah itu berkata langkah itu diambil bagi menghadapi kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka yang tidak membenarkan kempen konvensional seperti ziarah rumah ke rumah dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19.


”Baki 30 peratus lagi ialah kempen konvensional yang mungkin melibatkan ziarah tetapi saya yakin ziarah kita tidaklah lagi semeriah dulu atas alasan pandemik Covid-19, jaga SOP dan kita pun nak elak daripada petugas kita menanggung risiko atau pun menjadi penular wabak ini, jadi kita aktifkan media sosial,” katanya semasa melancarkan Jentera PAS PRN Melaka secara maya malam tadi.


Mengulas kerusi yang akan ditandingi PAS pada PRN itu, beliau mengulangi kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa rundingan membabitkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan Perikatan Nasional (PN), yang dianggotai Bersatu dan Gerakan, masih berlangsung.


”Kita ada landasan yang telah dirintis oleh para pimpinan… kita ada PN, MN dan sekarang ini (kita) sedang berunding supaya kita hanya ada dua penjuru sahaja dalam PRN Melaka. Kita harap rundingan ini berjaya dan inilah yang sedang kita usahakan,” katanya.

bottom of page