top of page
  • newsatmy

PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding

Updated: Oct 31, 2021

31 Oktober 2021

PETALING JAYA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memberi mandat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk berunding, termasuk berbincang dengan parti dalam kerajaan agar tidak berlaku pertembungan ketika pilihan raya negeri (PRN) Melaka.


Ismail yang juga Naib Presiden Umno, berkata partinya dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu, dalam PRN berkenaan, bulan depan.


Katanya, beliau sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan, serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka, selaras mandat yang diberi MKT.


“Keputusan Umno adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga parti di Semenanjung.


“MKT Umno memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan,” katanya menurut laporan Berita Harian.


Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai bentuk kerjasama di antara Umno dan PAS dalam PRN Melaka, memandangkan PAS akan turut bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).


Ismail Sabri menegaskan, hanya parti pembangkang yang akan meraih keuntungan sekiranya berlaku pertembungan antara tiga parti kerajaan itu dalam PRN Melaka.

bottom of page