top of page
newsatmy

PRN Melaka: Muda umum tanding - Syed Saddiq

27 Oktober 2021

AYER KEROH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.


Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan untuk menempatkan calon parti itu kini sedang dalam proses rundingan bersama Pakatan Harapan (PH).


Ujarnya, keputusan mengenai agihan kerusi akan diumumkan bersama blok pembangkang dalam masa terdekat.


“Rundingan (kerusi) telah pun bermula beberapa kali dan kita akan umumkan bersama selepas tempoh rundingan tamat.


“Saya dimaklumkan PH sedang membincangkan logo apa yang sesuai untuk pertandingan ini,” katanya pada sidang media di perkarangan Bangunan Stadthuys, hari ini.


Menurut Saddiq, antara kriteria calon yang akan diketengahkan oleh MUDA mestilah mempunyai rekod cemerlang dalam berkhidmat untuk rakyat.


“Calon mestilah yang dinamik, muda berpengalaman dan jelas perlu mempunyai rekod berkhidmat seperti Ketua MUDA Melaka saudara Yosh Wong.


“Kita tolak politik katak, tidak berintegriti yang bersandarkan pada pangkat dan jawatan semata-mata,” katanya.


Pada 5 Oktober lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.


Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya pada 4 Oktober.


Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan yang dikemukakan oleh Sulaiman mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

コメント


bottom of page