top of page
  • Writer's pictureNizam

PRN Melaka: UMNO kecewa MCA tanding di DUN Bemban

6 November

JASIN – Pengumuman senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini nampaknya tidak disenangi beberapa pihak.

Setiausaha UMNO Bahagian Jasin, Datuk Abdul Kalam Hassan berkata, rata-rata ahli dan masyarakat mula menunjukkan rasa resah dan kurang senang selepas mengetahui senarai calon yang akan bertanding di Bemban, Sungai Rambai dan Rim.


Beliau berkata, ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jasin itu dilihat bakal terlepas daripada genggaman berikutan calon dipilih untuk bertanding tidak memenuhi kehendak masyarakat dan akar umbi di kawasan terbabit.


Malah, ramai turut berasa kecewa apabila Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – Sungai Rambai.


Bukan hanya di Sungai Rambai, Abdul Kalam berkata, keadaan sama turut berlaku di DUN Rim apabila calon muka baharu akan bertanding di kerusi tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira akan bertanding di Rim menggantikan Datuk Ghazale Muhamad.


Abdul Kalam berkata, ramai pihak menghubunginya bagi menyatakan rasa kecewa apabila mendapat tahu calon bertanding bukan anak jati yang menetap di situ.

Sementara di Bemban pula, beliau berkata, ramai tidak berpuas hati apabila calon dari MCA diletakkan di kerusi itu.


Katanya, ketua cawangan dan ahli amat kecewa selepas calon MCA diumumkan bertanding di DUN berkenaan.


bottom of page