top of page
  • Writer's pictureNihaba

PRN Melaka: UMNO mohon kelonggaran SOP

29 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon agar diberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).Parti itu berharap dibenarkan berkempen menerusi pergerakan rumah ke rumah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan memastikan segala pergerakan dan bilangan ahli yang terlibat itu adalah terhad dan tidak melanggar SOP.


“Kita ada bincang dalam MKT supaya ada kelonggaran sedikit kepada SOP dalam PRN Melaka, supaya sedikit pergerakan boleh dibenarkan contohnya, rumah ke rumah dengan bilangan yang terhad.


“Contohnya berada dalam bilik gerakan dengan bilangan terhad untuk menyediakan perkara-perkara sebaran dan hebahan kempen misalnya,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia(WTC)


Beliau turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi sedikit kelonggaran berkaitan SOP PRN Melaka.


“Ia tidak bermaksud bahawa UMNO tidak cakna atau prihatin kesihatan rakyat, kita prihatin…kita harapkan SOP sebagaimana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini 2020 dan PRK DUN Slim mungkin boleh digunakan.


“Ketika PRK itu, kedua-dua kawasan itu belum ada seorang pun divaksinkan, sekarang sudah 95 peratus penduduk dewasa sudah divaksinkan dan 79 peratus rakyat Malaysia sudah divaksin.


“Kita terus kena buat SOP tapi pada ketika ini, kita ingin seimbang berhubung kesihatan rakyat dan diseimbangkan dengan demokrasi piliharan raya,” katanya lagi.

bottom of page