top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Sarawak: Perlawanan 4 penjuru di Gedong

6 Disember 2021

GEDONG: Kerusi DUN Gedong dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru pada pilihan raya Sarawak ke-12 akan datang.


Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ketua menteri sementara Tan Sri Abang Johari Openg akan menentang Mohamad Sofian Fariz Sharbini dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Kamal Bujang dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Tomson Ango dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).


Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR) Abdul Khalid Manap, membuat pengumuman itu pada 10.20 pagi hari ini selepas proses penamaan calon berakhir di Dewan Masyarakat Gedong.


“Tiada satu pun borang yang dikemukakan oleh empat calon itu ditolak,” katanya.


Ini kali pertama Abang Johari bertanding di kerusi DUN Gedong, selepas berpindah dari kerusi DUN Satok yang dimenanginya selama lapan penggal berturut-turut.


Beliau telah diberi kebenaran oleh Datuk Naroden Majais, yang telah menawarkan untuk memberi laluan kepada Abang Johari untuk bertanding di kerusi luar bandar.


Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 pada 2016, Naroden memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,365 undi menewaskan calon Amanah Rapelson Richard dan Bebas, Uja Bansi.


Gedong ialah sebuah kerusi luar bandar yang terletak kira-kira 90km dari Kuching dengan perjalanan mengambil masa sejam 30 minit.


Sebanyak 62 peratus pengundi Gedong adalah Melayu/Melanau, manakala 37 peratus lagi adalah Bumiputera bukan Islam dan baki satu peratus lagi pengundi Cina.


Pada 3 Nov, DUN Sarawak terbubar secara automatik, memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.


Pembubaran itu adalah selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membatalkan Pemasyhuran Darurat bagi Sarawak pada tarikh yang sama.


Pilihan raya negeri akan diadakan pada 18 Dis dan pengundian awal pada 14 Dis.

bottom of page