• newsatmy

'Projek: Anchor SPM' cipta fenomena, penonton desak mahu musim kedua

9 Mei 2021

MESKIPUN sudah melabuhkan tirainya, namun fenomena drama bersiri, Projek: Anchor SPM masih lagi dirasai.


Drama premium di bawah jenama Astro Originals berikan efek positif apabila jumlah tontonan atau kadar rating yang dicatatkan di platform medium digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top termasuk Astro GO, NJOI dan On Demand.


Bukan sahaja mendapat kadar rating yang tinggi malah, penonton setia Projek: Anchor SPM juga mendesak agar drama bersiri itu disambung untuk musim yang kedua.


Memetik laporan Astro Gempak, Pengarah Razaisyam Rashid menyatakan bahawa dia meletakkan semuanya kepada rezeki.


“Kalau ada rezeki, Astro bagi ruang, Tuhan bagi green light, kita pun jalanlah,” katanya ringkas.


Pada masa sama, Razaisyam juga berterima kasih kepada semua penonton yang memberikan sokongan padu untuk karyanya yang diarahkan bersama Anwari Ashraf.


“Saya menerima banyak komen dan pendapat penonton termasuklah daripada pengkritik filem bebas serta penggiat seni tanah air. Tidak kira komen positif mahupun negatif, saya terima semuanya sebagai senjata utama untuk terus komited menghasilkan sentuhan terbaik pada masa akan datang.


“Bagi saya, ia adalah sesuatu yang menarik apabila sinematografi, teknik pergerakan kamera dan penyuntingan Projek: Anchor SPM menjadi bualan mereka yang menontonnya.


“Secara tidak langsung ia menunjukkan penonton di luar sana sememangnya akan menyokong karya tempatan jika ia menepati citarasa mereka. Jadi, tidak mustahil untuk drama kita bersaing dengan drama dari negara luar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.


Antara pelakon yang menjayakan drama bersiri ini ialah Adlin Aman Ramlee, Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Chubb-E, Shasha Abedul, dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar.


Bagi anda yang terlepas menonton drama bersiri ini, anda masih berpeluang untuk menontonnya menerusi platform Astro GO atau On Demand.


-Astro Awani