top of page
  • newsatmy

Projek hibrid solar: KPM teliti isu perundangan, perkara berbangkit


PUTRAJAYA, 6 Sept – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu meneliti isu perundangan dan perkara berbangkit membabitkan projek hibrid solar untuk keperluan sekolah, sebelum tindakan lanjut diambil.


Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata ia berikutan ada banyak legasi ditinggalkan berhubung projek itu.


“Kita perlu meneliti legasi yang ditinggalkan. Ia rumit. Kita sedang melihatnya bagi memastikan isu perundangan dan sebagainya diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus dengan Editor Kanan Media, di sini, pada Isnin.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Jumaat lalu, yang meminta agar kerajaan meneruskan dan melengkapkan projek hibrid solar itu di negeri berkenaan.


Abdul Karim dilaporkan berkata, projek itu harus diteruskan kerana ia bertujuan membekalkan tenaga elektrik ke sekolah yang berada di kawasan pedalaman.


Terdapat 369 sekolah di Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.


Khamis lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan secara serentak, dan didenda RM970 juta.


Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.


Jika gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.


Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


Mohamed Zaini dilaporkan berkata, pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tiga tuduhan.


Rosmah didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.


Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.


Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan, KPM perlu meneliti pelbagai aspek berkait projek itu secara terperinci.

“Seperti yang anda lihat daripada kes terbabit, ada banyak perkara yang kita perlu perincikan satu per satu,” katanya.

bottom of page