top of page
  • newsatmy

Projek Jana Wibawa: PMO tidak campur tangan dalam urusan MOF, Marzuki sanggah Anwar


Perdana Menteri semasa menjawab soalan YB Datuk Dr Radzi Jidin di Parlimen beberapa hari lalu ada menyebut mengenai projek JANAWIBAWA. Kononnya ini satu lagi penyelewengan kerajaan PN selepas penyelewengan dana RM600 bilion, RM92.5 bilion, perolehan vaksin dan berbilion-bilion yang lain. Saya pun dah tak ingat berapa banyak bilion.


Beberapa akhbar dan portal berita memetik sumber kononnya kontraktor-kontraktor yang diberikan kontrak JANAWIBAWA telah menyumbang RM300 juta kepada BERSATU. Sumber mana yang dipetik saya pun tak tahu. Baling batu sembunyi tangan.


Semasa menjawab soalan Parlimen tempohari, Perdana Menteri kata akan ada berita baik mengenainya untuk rakyat beberapa hari lagi.


Sekarang, saya nak beritahu berita baiknya.


Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JANAWIBAWA) adalah satu perogram yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan dan diluluskan oleh kabinet pada tahun 2020.


Program ini bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek fizikal yang terjejas akibat pelaksanaan PKP semasa wabak COVID-19 melanda.


JANAWIBAWA tiada kaitan dengan dana Pakej Rangsangan Ekonomi COVID-19 bernilai RM530 bilion. Ia adalah projek-projek yang telah tersedia di bawah Rancangan Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen. Program ini dikhususkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.


Pada bulan November 2020, saya sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri pada ketika itu telah menerima cadangan daripada Kementerian Kewangan supaya Pejabat Perdana Menteri membuat semakan ke atas keupayaan syarikat-syarikat yang memohon projek JANAWIBAWA dan memperakukannya kepada Kementerian Kewangan.


Saya bab-bab projek ni terus terang saya cakap saya tak minat.


Pertama, Pejabat Perdana Menteri tidak mempunyai kepakaran atau keupayaan untuk membuat semakan ke atas keupayaan syarikat. Mana kita tahu sesebuah syarikat itu ada keupayaan atau tidak. Tidak ada unit atau bahagian di PMO yang melakukan kerja tersebut.

Kedua, membuat semakan dan seterusnya menilai keupayaan syarikat adalah bidang tugas Kementerian Kewangan. Mereka ada kepakaran dan keupayaan untuk melakukannya. Ada Jawatankuasa Penilaian Kontraktor di MOF. Penilaian syarikat, samada dari segi keupayaan kewangan atau teknikal, mesti dibuat secara teliti dan rapi supaya apabila sesebuah syarikat dianugerahkan kontrak untuk melaksanakan projek kerajaan, projek tidak terbengkalai.


Mana-mana syarikat yang diperaku oleh Jawatankuasa Penilaian Kontraktor, akan dipertimbangkan pula oleh Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) di MOF. Keputusan akhir akan dibuat oleh JPMK. Inilah proses biasa perolehan kerajaan.


Saya merujuk perkara ini kepada Tan Sri Muhyiddin dan beliau beritahu saya, “No. PMO should not be involved at all. We don’t have the authority to do so”.


Jadi, atas arahan Perdana Menteri Ke-8, saya telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan memberitahu supaya semakan dan penilaian syarikat dibuat oleh Kementerian Kewangan.


Maka dengan itu, segala urusan berkaitan perolehan projek JANAWIBAWA telah dijalankan melalui proses dan tatacara perolehan kerajaan sepertimana biasa yang diurus oleh Kementerian Kewangan.


Pejabat Perdana Menteri atau Perdana Menteri sendiri tidak ada kuasa untuk membuat penilaian ke atas syarikat atau memberikan kelulusan projek. PMO juga tidak campurtangan dalam urusan MOF.


Jadi, berita baiknya ialah tiada salah guna kuasa oleh Perdana Menteri Ke-8 dalam perolehan projek JANAWIBAWA. Macamana nak salah guna kuasa kalau kuasa pun tidak ada. Kuasa itu ada di Kementerian Kewangan.


Surat saya kepada KSP adalah buktinya. Saya bersedia untuk memberikan keterangan kepada SPRM berhubung surat saya itu.


Inilah berita baik untuk rakyat. Tan Sri Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri tidak salah guna kuasa untuk meluluskan sebarang projek. Mungkin inilah juga sebabnya Tan Sri Muhyiddin memilih untuk tidak menjadi Menteri Kewangan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.


Penulis Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

bottom of page