• newsatmy

Projek KL ATCC tidak diuruskan dengan cekap - Audit


KUALA LUMPUR,4 Ogos: Keputusan Kementerian Pengangkutan mentadbir kontrak projek Kuala Lumpur Air Traffic Control Centre (KL ATCC) secara hibrid tidak menjamin kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara dan melanggar peraturan kewangan yang berkuat kuasa, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 1 yang dikeluarkan Rabu.


Menurut laporan itu kelemahan berkenaan menyebabkan kerajaan menanggung kos yang sepatutnya ditanggung sendiri oleh kontraktor dan perunding serta bayaran dibuat sebelum perkhidmatan dilaksanakan.


"Projek didapati tidak diuruskan dengan cekap dapat dilihat dalam kelemahan pengurusan EOT (extension of time), penyelenggaraan dan program ICP (program kolaborasi industri)," kata LKAN.

Laporan itu berkata pengauditan juga mendapati kelemahan dalam aspek keselamatan fizikal bangunan serta sistem yang boleh memberi risiko pencerobohan fizikal dan sistem jika tidak ditambah baik dengan segera.


Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan, laporan itu mengesyorkan supaya Kementerian Pengangkutan menyemak semula semua syarat kontrak untuk memastikan kepentingan kerajaan terpelihara.


"MOT (Kementerian Pengangkutan) dan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) perlu memastikan kontraktor melaksanakan semua skop perkhidmatan penyelenggaraan dengan sempurna dan mengenakan penalti/denda yang sepatutnya," kata LKAN itu.


Laporan itu turut menyarankan supaya Kementerian Pengangkutan menyegerakan proses pewartaan KL ATCC baharu sebagai KLTL (kawasan larangan dan tempat larangan) supaya kawasan tersebut dilindungi sepenuhnya selaras dengan fungsinya yang sangat penting dalam penerbangan awam negara.


"Selain itu Kementerian Pengangkutan dan TDA (Technology Depository Agency Berhad di bawah Kementerian Kewangan) perlu memastikan pelaksanaan ICP berjalan seperti yang dirancang dan objektif pelaksanaannya tercapai seperti hasrat kerajaan," kata LKAN.


Laporan berkenaan berkata KL ATCC baharu yang mula beroperasi 31 Ogos 2021 siap selepas lima lanjutan masa melibatkan 898 hari atau lebih dua tahun.

Rumusan LKAN turut menambah bagi aspek keberhasilan projek, penilaian masih belum dapat dibuat sepenuhnya kerana bilangan trafik udara yang rendah pada masa ini.

-- BERNAMA