top of page
  • newsatmy

Proses suntikan vaksin COVID-19 perlu lalui 5 stesen

24 Februari 2021

Individu yang akan disuntik dengan vaksin COVID-19 perlu melalui 5 stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan proses suntikan mengambil masa antara 15 dan 30 minit termasuk proses pemantauan untuk kesan sampingan.


Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, stesen kedua untuk pendaftaran, stesen ketiga bagi konsultasi dan persetujuan imunisasi; stesen keempat untuk suntikan vaksin Covid-19 serta stesen kelima untuk pemerhatian.


“Dari saringan suhu sehingga suntikan akan ambil masa antara 10 hingga 15 minit. Bagi proses pemerhatian pula selama 15 minit, namun kita perlu beri ruang secukupnya untuk pemantauan dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya.


Turut hadir ialah Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang (frontliner).

23, Feb 2021

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas sama ada warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.


Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada hari pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, hari ini.


Program itu pada asalnya dijadualkan bermula 26 Februari, namun dipercepatkan ke 24 Februari (hari ini).


Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, kementeriannyan sudah bersedia untuk melaksanakan fasa pertama yang melibatkan 572,588 petugas barisan hadapan berdaftar mengikut rekod setakat 21 Feb lepas.


Menurutnya, sebanyak 532 PPV telah dikenalpasti di seluruh negara untuk pelaksanaan program vaksinasi terbesar negara itu dan dibahagikan kepada lapan kategori mengikut bilangan petugas dan keluasan premis.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr, Adham berkata, wanita mengandung serta yang menyusukan anak tidak akan diberi suntikan vaksin Covid-19 berdasarkan ketetapan yang dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV). - PN Online


bottom of page