top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

PRU-15,mungkin selepas belanjawan


Bayangan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) semakin dekat diadakan sudah kelihatan dengan semua parti politik sudah mula masuk gear masing-masing, pelbagai aktiviti dan program tidak rasmi dijalankan oleh pemimpin politik kebelakangan ini.


Desakan dan gesaan supaya Parlimen dibubarkan hampir setiap bulan diajukan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lebih anehnya ia datang daripada partinya sendiri yang meminta supaya PRU-15 disegerakan.


Kedudukan Ismail Sabri sudah terjamin apabila UMNO sendiri meletak syarat untuk mengekalkan beliau sebagai PM jika UMNO-Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi PRU-15, jadi Naib Presiden itu sudah boleh menarik nafas lega.


Pemilihan UMNO juga sudah mendapat lampu hijau untuk ditangguhkan daripada badan pentadbir pertubuhan baru-baru ini, secara ringkasnya UMNO sudah bersedia untuk berdepan PRU-15 dan hanya menunggu “button” ditekan PM untuk membubarkan Parlimen.

Jadi bilakah masa yang sesuai untuk mengadakan PRU-15?


Terdapat pandangan yang mencadangkan ia diadakan sebelum musim banjir tiba, kebiasaannya beberapa negeri di Malaysia berdepan bencana banjir pada bulan November sehingga Disember.


Jadi jika mahu mengadakan PRU-15 tahun ini, masa yang terbaik adalah sebelum musim tengkujuh melanda negara dan pembentangan Bajet 2023 perlu diawalkan daripada jadual asal.


Spekulasi mengatakan berkemungkinan bajet akan dibentang lebih awal pada September dan Parlimen dibubarkan selepas selesai dibentang.


Persediaan awal juga sudah dimulakan Kementerian Kewangan untuk menyiapkan kertas pembentangan Bajet 2023, sekaligus memberi isyarat ia boleh dibentangkan pada bila-bila masa selepas berakhir sidang Dewan Rakyat pada bulan ini.


Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga difahamkan sudah menghantar memo dan memanggil sukarelawan untuk bertugas semasa PRU-15 depan, beberapa sukarelawan SPR yang bertugas semasa PRU-14 sebelum ini memberitahu sudah menerima makluman meminta mereka untuk bersedia dipanggil bertugas.


Senario satu lagi adalah sekiranya PRU-15 diadakan tahun depan, berkemungkinan masa yang sesuai adalah selepas sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari.


Mengikut kalendar kebangsaan, sambutan Tahun Baharu Cina adalah pada 22 Januari 2023 dan berkemungkinan diadakan selepas tarikh tersebut, sama ada pada Februari atau Mac depan.


Namun, berdasarkan situasi semasa, kecenderungan PRU-15 diadakan lebih awal pada tahun ini semakin kuat, malah UMNO difahamkan sudah mengadakan perbincangan antara “Top 5” bagi memilih tarikh pembubaran Parlimen.


Sumber dalaman UMNO memberitahu, kelima-lima pemimpin utama parti sudah duduk semeja dan mencapai kata sepakat berhubung pemilihan tarikh PRU-15.


Seorang pemimpin tertinggi MIC, Datuk Seri M Saravanan juga memberi bayangan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh sebulan dua lagi.


Ia merupakan kenyataan terbuka seorang pemimpin parti komponen BN yang secara tidak langsung memberi petanda PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat.

“Mungkin tak lama lagi, boleh jadi sebulan dua. Apabila sampai masa nanti, buatlah pilihan B iaitu bijaksana,” katanya dipetik laporan semasa majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KSM semalam.


Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pilihan terbaik perlu dibuat rakyat bagi menjamin kestabilan politik seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju.

“Yang terbaik itu memberikan kestabilan politik yang berterusan untuk anak-anak,” katanya.

Ahad lalu, Ismail Sabri juga mengingatkan semua ahli BN termasuk pemimpin tidak menyerang antara satu sama lain sehingga merugikan parti kerana PRU kini menghampiri.

bottom of page