top of page
  • admin

PRU15: MB dari PAS jika PN tawan Perlis


KANGAR, 30 Sept – Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan calon Menteri Besar dari PAS sekiranya gabungan tersebut berjaya menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, BERSATU mengakui kedudukan PAS sebagai ‘abang’ kepada gabungan itu di Perlis

.

Katanya, PAS perlu memimpin BERSATU dengan sebaiknya dan kedua-dua pihak tidak sewajarnya melakukan serangan antara satu sama lain menjelang perang PRU15.

“Saya sebut abang sebab kita bagi sokongan kepada pemimpin PAS yang akan kita kekalkan untuk pimpin negeri ini.


“Jadi, salahkah kalau abang kita dari PAS akan jadi Menteri Besar di Perlis (selepas PRU15),” katanya pada Majlis Pertemuan Khas Bersama Barisan Kepimpinan PN Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia di sini, pada Khamis.


Hadir sama, Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Pengerusi PN Negeri, Mohd. Shukri Ramli dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah.


Dalam pada itu, Hamzah berkata, menerusi pertemuan berkenaan, pihaknya juga turut mengingatkan semua anggota PN agar tidak menghebahkan strategi parti menerusi media sosial bagi menggelakkan pihak lawan mengambil kesempatan.


“Apa yang penting, kita kenali dan percaya antara satu sama lain di samping mewujudkan kerjasama bagi membuktikan PN dapat menawan negeri Perlis,” katanya.


Dalam pada itu, Hamzah berkata, pertemuan itu juga adalah bagi meminta setiap anggota PN Perlis untuk bersiap sedia menghadapi PRU15 dan meyakinkan mereka tentang sokongan yang diperolehi gabungan itu termasuk dari kalangan bukan bumiputera.


Tambah beliau, terdapat pertambahan sokongan bukan bumiputera terhadap PN direkodkan menjelang PRU15.


“Saya juga rasa amat bangga kerana kita dapat buktikan yang pemimpin PN tidak boleh dipersoal dari segi intergriti,” katanya.

Comments


bottom of page