top of page
  • newsatmy

PRU15: PH N. Sembilan tidak tolak kemungkinan perubahan agihan kerusi antara parti komponen

16 Januari 2022

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam pengagihan kerusi antara parti komponennya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengambil kira kehadiran pengundi muda dan parti politik baharu.


Pengerusinya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata PH di peringkat negeri dan pusat ketika ini sedang mengkaji keperluan itu memandangkan PRU15 mungkin diadakan pada bila-bila masa.


"Sudah tentu, pastinya akan ada perubahan yang cukup signifikan dalam pengisian calon PRU15, lebih-lebih lagi dengan kehadiran kira-kira 5.8 juta pengundi muda yang belum pernah berdaftar, mereka yang menjadi penentu landskap politik negara.. kerajaan mana akan gugur dan diangkat.

"Kita juga sedang mencari formula menarik hati anak muda ini. Kalau dulu ada 'kek' boleh kongsi, tetapi hari ini 'kek' ini cukup berbeza, malah mana-mana parti pun tidak nampak anak muda ini cenderung memilih parti mana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita PH negeri 2022 di sini hari ini.


Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan itu optimis mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi parti itu pada PRU14, selain sedang bekerja kuat menambah bilangan kerusi bagi mentadbir kerajaan negeri untuk penggal seterusnya.


"Kita ada beberapa tempat yang berpotensi untuk menang selain kehadiran pengundi muda nanti juga, saya nampak ada peluang terbuka, semua pihak harus bekerja dan tidak harus mendabik dada," katanya.



-- BERNAMA

Comentarios


bottom of page