top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PU Amin kongsi Sijil Vaksin Zaman Uthmaniah

7 September 2021

Di saat ramai mula mempercayai vaksin sebagai salah satu ikhtiar menyembuhkan dan mengelakkan diri dari dijangkiti wabak Covid-19, masih ada lagi golongan yang menolak vaksin kerana ragu-ragu akan isi kandungannya.


Menurut golongan ini, vaksin adalah agenda dajjal dalam menyesatkan orang Islam. Walau bagaimanapun, pandangan tersebut ditolak Pencetus Ummah Amin atau PU Amin yang berkongsi foto sijil vaksin pada zaman kerajaan Uthmaniah di Instagram.


Menerusi perkongsian tersebut, PU Amin menjelaskan bahawa sijil vaksin zaman kerajaan Uthmaniah ini dikeluarkan oleh Istanbul pada tahun 1900 masihi.


Jika benar ia satu agenda dajjal atau membunuh manusia, maka mungkin kita tidak akan wujud hari ini. Bersederhana dalam menghukum.


“Vaksin itu ikhtiar. Yang sembuhkan kan Allah, tapi Allah suka hamba yang berusaha dan bertawakal dengan ikhitiar yang baik. Inshaallah,” katanya.


“Sijil ni tak membuktikan apa-apapun”


Walau bagaimanapun, posting tersebut telah menerima pelbagai komen negatif netizen yang tidak mempercayai vaksin dan menyifatkan sijil tersebut tidak membawa apa-apa makna.


Malah ada juga yang bertanya sama ada vaksin pada zaman dulu sama atau tidak dengan vaksin zaman sekarang.



“Tak nak ambil awak punya masalah, tapi jangan hasut orang”


Tampil menjelaskan posting Instagramnya kepada mStar, PU Amin berkata, tindakannya itu hanya untuk memberi gambaran betapa pentingnya pengambilan vaksin atau bahan pelali bagi membendung wabak.


“Kalau tengok pada post yang saya kongsi tu saya nak menunjukkan sebenarnya bahawa pengambilan vaksin ataupun rawatan mencegah wabak menggunakan vaksin telah diamalkan sejak 1900 masihi.


“Masa tu pun penciptaan vaksin telah wujud. Ini adalah hak saya untuk bercerita manfaat vaksin, saya tak kata vaksin tu menyembuhkan, yang menyembuhkan Allah.


“Tapi kita bercerita pasal manfaat tu hak kita la, sama macam mereka bercerita tentang darurat vaksin,” katanya.


Dia juga pada masa yang sama meluahkan rasa kesal dengan sikap mereka yang menolak vaksin terutamanya yang terpengaruh dengan berita tidak sahih.


Sebenarnya anti vaksin dan yang ragu-ragu dengan vaksin ini kasihan sebab terpengaruh dan banyak mendengar berita-berita yang tak tepat.


“Contohnya daripada orang yang tafsir mimpi atau daripada mesej yang disebar tiada asas.


“Tak nak ambil awak punya masalah, tapi jangan hasut orang, jangan cerita ini dajjal… ini fitnah,” katanya lagi.

bottom of page