top of page
  • Writer's pictureNihaba

Pulau Tioman pusat pembiakan penyu-Jabatan Perikanan

25 Oktober-PULAU TIOMAN

Jabatan Perikanan Pahang melepaskan sebanyak 400 anak penyu jenis agar di Pulau Tioman sebagai usaha menambahkan lagi pendaratan reptilia berkenaan di pulau peranginan berkenaan.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, Pulau Tulai yang terkenal dengan terumbu karang menjadi tempat pelepasan anak penyu berusia seminggu yang kali pertama dilakukan pihaknya di pulau berkenaan.

Menurutnya, rekod pihak Cawangan Taman Laut Pulau Tioman mendapati terdapat 20 pendaratan membabitkan lebih 10 ekor penyu jenis agar dan lipas tahun ini di Pulau Tulai, kawasan yang sunyi dan tanpa gangguan manusia menjadi faktor utama reptilia berkenaan mendarat di situ.

Katanya, selain Pulau Tulai penyu juga mendarat di Kampung Juara dan beberapa kampung lain di Pulau Tioman, hampir setiap tahun reptilia berkenaan datang untuk bertelur.

“Jabatan kini giat berusaha untuk menjadikan Pulau Tioman sebagai antara lokasi pendaratan penyu di negeri ini, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan dengan kerjasama masyarakat setempat.


“Antara usaha yang dilakukan ialah dengan mengadakan program pelepasan anak penyu dari masa ke masa selain kempen kesedaran jangan makan telur penyu,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan penganjuran Program Kesedaran Awam Terhadap Kepentingan Pemuliharaan Sumber Maritim Pahang 2021 yang turut membabitkan aktiviti pelepasan 400 anak penyu jenis agar di Pulau Tulai disertai lebih 80 pelancong dan penduduk setempat, semalam.

Hadir pada program berkenaan Ketua Cawangan Dan pengurusan sumber Jabatan Perikanan Pahang, Halina Hashim.

Pada program berkenaan turut diadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai dan penerangan mengenai kepentingan penyu serta kempen jangan makan telur penyu.

bottom of page