top of page
  • newsatmy

Punca Badak mudah dibelasah JDT


7 April 2021 KOTA KINABALU: Kurniawan Dwi Yulianto mengakui kekalahan 1-4 Sabah FC di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi berpunca daripada kesilapan pemain ketika babak awal permainan. Pengendali skuad Sang Badak itu menjelaskan pemain hilang tumpuan dan kelihatan kurang yakin ketika permainan baru bermula memudahkan pelawat mencuri peluang melakukan serangan sehingga berjaya meledakkan dua gol berturut-turut pada minit ketujuh dan kelapan.

Kekecewaan dan tekanan yang timbul di minit awal babak pertama itu, katanya berlarutan hingga ke separuh masa kedua apabila Sabah terpaksa berdepan JDT dengan 10 pemain selepas

Maxsius Musa dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-59. Jelasnya, walaupun berjaya mendapat satu gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import, Levy Clement Madinda pada minit ke-57, usaha Sabah untuk menambah gol menjadi semakin sukar disebabkan kekangan jumlah pemain.

"JDT bermain dengan bagus, manakala kita pula seperti tidak yakin pada awal permainan. Dua gol yang dijaringkan JDT pada minit awal permainan memang berpunca daripada kesilapan kita. "Walaupun kita mendapat satu gol pada awal separuh masa kedua tetapi kita kemudian mendapat satu kad merah. Bagi saya, keputusan malam ini memang mengecewakan," katanya pada sidang media selepas perlawanan. Kurniawan mengakui tumpuan permainan pada 15 minit awal dan 15 minit akhir sangat penting, namun pemain Sabah gagal memberi perhatian menyebabkan gawang mudah dibolosi.

Sementara itu, JDT tidak memberi ruang kepada Sabah untuk mencuri peluang melakukan serangan dari minit awal perlawanan lagi.

Pengendali JDT, Benjamin Mora, berkata anak buahnya bermain secara agresif bermula dari awal permainan lagi bagi memastikan pasukannya dapat menguasai perlawanan.

Dalam aksi malam tadi JDT menggegarkan gawang Sabah pada minit ketujuh dan kelapan hasil sepakan pantas Arif Aiman Mohd Hanafi dan Bergson Gustavo Silveira Da Silva.

Ia kemudiannya menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua menerusi rembatan Bergson pada minit ke-67 dan sepakan penalti yang disempurnakan Leandro Sebastian Velazquez pada minit ke-86. -Astro Awani


bottom of page