top of page
  • cik skod

Punca penculikan ejen kosmetik, suami terbabit aktiviti seludup dadah


TUMPAT.15 Sept:Semalam (14 September), rakyat Malaysia digemparkan dengan laporan media mengenai seorang ejen jualan kosmetik yang dilarikan dan diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, pada Selasa (13 September).


Rosnazirah Mohd Naim, 36 tahun telah dilarikan dengan menggunakan kenderaan Toyota Vios oleh tiga individu yang tidak dikenali pada jam 4.10 petang.


Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan insiden dipercayai berpunca dari perselisihan antara ahli sindiket dadah.


Di mana polis mendapati suami kepada Rosnazirah Mohd Naim atau Azi yang diculik itu terbabit dalam aktiviti sindiket dadah..


Menurut pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam berkait kes penyeludupan dadah.


“Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah. Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.


“Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.


“Bagi kes ini, polis percaya tiada pembabitan pihak lain kerana kita percaya kejadian ini berlaku akibat perselisihan di kalangan ahli sindiket,”katanya pada sidang media hari ini.


Rosnazirah dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.


Muhamad Zaki berkata, pihaknya percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang menculiknya petang kelmarin.


“Kita sudah mengadakan perbincangan dan satu operasi khas dilancarkan bagi menyelamatkan wanita berkenaan. Kita percaya wanita berkenaan dalam keadaan selamat.


“Pihak berkuasa Thailand juga memberi maklum balas positif bagi mengesan mangsa yang dipercayai berada di negara berkenaan,” katanya.


“Sehingga kini, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek dan siasatan terhadap nombor kenderaan Toyota Vios yang digunakan suspek adalah nombor pendaftaran palsu,” katanya

bottom of page