top of page
  • newsatmy

Puteri Sarah positif COVID-19

20 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 35, disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan ketiga, semalam.


Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkongsi berita duka itu menerusi laman Instagram dan Facebook, petang ini.


Katanya, dia tak menyangka dirinya positif COVID-19 berikutan tidak mengalami simptom sepanjang menjalani tempoh kuarantin kendiri.


"Sebaik-baik kita menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan tidak bercampur dengan orang, akhirnya kecundang juga.


"Bermula penggambaran, ada dua kontak rapat positif COVID-19, tetapi saya adalah taip C dan orang yang dijangkiti tidak dekat dengan saya. Namun, Allah mungkin nak cuci dosa-dosa, saya terkena juga.


"Sebelum ini, saya sudah dua kali menjalani ujian calitan dan keputusannya negatif disebabkan akan menjalani penggambaran drama. Sedihnya, saya disahkan positif apabila melakukan ujian calitan ketiga, semalam. Ini kerana saya tiada deria rasa apabila makan, cirit birit dan selsema, sejak hari raya kedua.


"Saya mula hilang deria bau sejak semalam, malah makan pun tak rasa apa-apa. Jadi, saya ambil keputusan pergi melakukan ujian calitan sekali lagi," katanya ketika dihubungi BH Online.


Ekoran itu, pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu memohon maaf pada sesiapa yang pernah bertemu dengannya sejak 10 Mei lalu.


"Saya memohon maaf kepada sesiapa yang menjadi kontak rapat dengan saya sejak 10 Mei lalu. Saya mohon pergilah menjalani ujian calitan.


"Minta maaf kepada keluarga, suami dan anak-anak. Doakan kami semua. Nasihat saya, jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting. Jaga diri semua," katanya.


-Berita Harian

bottom of page