top of page
  • Writer's pictureNizam

Radzi - PdPR tidak hanya dalam talian

27 Januari 2021

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Radzi Jidin berkata, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tidak terhad kepada kaedah dalam talian sebaliknya guru boleh menetapkan pelbagai kaedah PdPR luar talian yang bersesuaian dengan murid masing-masing.


Menurut beliau, hal ini seperti dijelaskan dalam Manual PdPR Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), antara kaedah luar talian yang boleh digunakan ialah penyerahan modul pembelajaran atau latihan kepada murid.


“Modul diserahkan kepada murid melalui pelbagai pendekatan, ada sekolah yang menggunakan kaedah pandu lalu untuk penyerahan modul malah ramai juga guru yang menghantar sendiri modul ke rumah muridnya.


“Murid akan melaksanakan PdPR dengan menyiapkan modul yang diberikan dan menghantar semula kepada guru untuk diperiksa, kemudian guru akan menyerahkan modul yang berikutnya,” jelas beliau menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.


Radzi turut dimaklumkan bahawa guru-guru Sekolah Menengan Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya di Kota Kinabalu, Sabah menaiki bot untuk menghantar bahan pembelajaran kepada murid mereka.


“KPM memahami bahawa murid di seluruh negara merangkumi pelbagai latar belakang sosioekonomi dan setiap guru turut berdepan situasi dan cabaran yang berbeza.


“Oleh itu, sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, KPM sentiasa menekankan bahawa kaedah PdPR yang ingin digunakan mestilah mengambil kira kesesuaian guru dan murid.


“Sama ada secara dalam talian mahu pun di luar talian, kesungguhan guru untuk menyampaikan ilmu kepada anak didik tiada tolok bandingnya… terima kasih, cikgu!” katanya.


Sementara itu, Radzi turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan yang diberikan kepada guru sepanjang tempoh yang mencabar itu.


Katanya, pandemik COVID-19 yang muncul tanpa diduga telah memberi impak yang mendalam kepada sektor pendidikan di seluruh dunia namun walau apa pun cabarannya, KPM akan terus berusaha gigih untuk memberikan yang terbaik kepada generasi pewaris negara.


“Kami tidak sempurna tetapi kami ambil peduli dan sentiasa ikhlas berusaha, jadi marilah kita bersatu hati untuk lakukan yang terbaik demi masa depan anak-anak kita, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni,” katanya. - PN Online


bottom of page