top of page
  • newsatmy

Rafizi sedia beri keterangan kepada polis


JOHOR BAHRU 1 sept: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sedia dipanggil polis susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.


Bagaimanapun, beliau turut mempersoalkan mengapa Abd Latiff belum dipanggil polis memberi keterangan walaupun laporan polis terhadapnya berhubung isu projek LCS telah dibuat Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini.


Katanya, situasi tersebut akan memberi tanggapan negatif orang awam terhadap ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan. "Nampak tidak cantik di mata rakyat kerana Akmal Nasrullah telah membuat laporan polis sebelum ini tetapi Abd Latiff tidak dipanggil dan tidak ada sebarang reaksi ataupun kenyataan daripada polis.

"Namun, sebaik sahaja pegawai khas menteri berkenaan membuat laporan polis, hari seterusnya itu terus ada kenyataan rasmi daripada polis," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri, di sini pada malam Rabu.


Pada Rabu, polis dilaporkan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat pegawai khas menteri berkenaan pada jam 9.28 malam Selasa.


Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menggesa supaya tidak berlaku sebarang bentuk campur tangan dalam isu tersebut memandangkan ia membabitkan pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Tegasnya, PDRM sepatutnya diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan secara meyeluruh tanpa prejudis.

"Kenapa Abdul Latiff langsung tidak disiasat, langsung tidak diambil kenyataan sedangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut dipanggil memberi keterangan baru-baru ini.

"Sementara saya mengalu-alukan diri ini dipanggil ke balai polis, saya harap dia (Abd Latiff) juga menyusul dipanggil untuk beri kenyataan di balai polis.

"Itu baru adil, barulah rakyat akan merasa yakin dengan pihak yang menguatkuasakan undang undang di negara ini," katanya. - Sinar Harian

留言


bottom of page