top of page
  • Writer's pictureNizam

RANCANGAN PROJEK HSR MALAYSIA DI LANDASAN TEPAT


PEMBATALAN projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura memang mendapat banyak perhatian, termasuk di dalam media. Berikut ingin dikongsi beberapa perspektif, terutama berhubung pertimbangan dalam keputusan yang dibuat mengenai isu pembatalan projek HSR KL-Singapura. Suatu fakta yang mapan bahawa ekonomi Malaysia dan Singapura memiliki persaingan yang cukup kompleks dan saling bergantungan. Sejak awal lagi, negara kita sudah mengenal pasti bahawa integrasi yang lebih erat antara kedua-dua ibu negara, di samping koridor selatan yang dinamik di Malaysia akan meningkatkan pelaburan dan pembangunan industri. Seperti mana yang kita sedia maklum, pelbagai kajian menganggarkan manfaat ekonomi bagi projek HSR KL-Singapura adalah jauh lebih besar berbanding empat laluan HSR yang sudah dirancang di Thailand.

"Bagi projek HSR, Malaysia hanya ingin menggubal satu rangka usaha yang mencermin dan memastikan keputusan yang terbaik mengikut realiti dan cabaran yang kita hadapi. Kerajaan Malaysia mempunyai wawasan yang jelas ke mana ia ingin membawa HSR dan bagaimana ia dilaksanakan." Memang benar Kerajaan Malaysia sudah pun membuat beberapa pengecualian (konsesi) untuk mendapatkan persetujuan Singapura. Bagaimanapun, daripada memudahkan pembinaan sebuah laluan kereta api yang berdaulat ke sempadan antarabangsa yang mengikut piawaian HSR seperti yang dilaksanakan oleh HSR merentasi sempadan yang lain di seluruh dunia, Singapura menegaskan bahawa landasan berkenaan dibina bersama supaya kedua-dua pihak mempunyai hak bersuara yang sama. Ini adalah tidak adil memandangkan Malaysia harus menanggung kos pelaburan yang besar, di mana hampir 96 peratus daripada landasan sepanjang 350 kilometer (km) berada di sempadan kita. Dengan demikian, kerajaan mementingkan kedaulatan negara jangka panjang dengan membatalkan Perjanjian Dua Hala. Jika HSR KL-Singapura dibina di bawah terma berkenaan, Malaysia tidak akan dapat meluaskan jajaran HSR ke bahagian lain di negara ini untuk mengembangkan pembangunan ekonominya. Kita pasti akan tersekat selepas membelanjakan berbilion-bilion dolar daripada memanfaatkan sistem kereta api ini dalam meningkatkan pembangunan ekonomi yang sangat diperlukan di bahagian lain di Malaysia. Perlu diingatkan, ketika proses rundingan dua hala diadakan sebelum pembatalan Perjanjian Dua Hala itu, negara lain serta konsortium antarabangsa tertentu secara konsisten dan beberapa kali menasihati Kerajaan Malaysia untuk menggugurkan struktur projek percubaan (experimental) yang dipersetujui bersama Singapura. Ternyata, ini adalah nasihat yang sangat bernas. Namun, ini tidak bermakna Malaysia menghentikan perancangan projek HSR. Kerajaan kini sedang giat mempertimbangkan pelbagai alternatif, termasuk jajaran domestik dengan mengalihkan tumpuan kepada pembangunan di Koridor Selatan Malaysia. Justeru, keputusan untuk menggugurkan model AssetsCo tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan 'ketidaktelusan' atau soal 'kerasionalan' di pihak Malaysia. Pembangunan HSR domestik akan terus memenuhi piawaian ketelusan tertinggi. Kerajaan Malaysia juga sangat komited dalam melaksanakan proses tender terbuka bagi memastikan ketelusan untuk projek ini. Semua yang dilaksanakan Malaysia adalah bagi mengutamakan kepentingan negara. Model AssetsCo tidak pernah diguna pakai oleh mana-mana negara di dunia kerana keterbatasannya. Sebaliknya, infrastruktur dan operasi yang mempunyai piawaian kebolehoperasian yang sama membolehkan setiap negara untuk menguruskan aset, infrastruktur dan operasi masing-masing. Susunan sedemikian terbukti kemampanannya, bahkan berjaya di pasaran yang lain. Jadi, tiada sebab mengapa ia tidak diberikan peluang untuk dilaksanakan di Malaysia juga. Di samping itu, ia juga diperdebatkan bahawa dengan menjauhi diri daripada pelaburan asing, Malaysia memihak kepada pengusaha tempatan secara tidak saksama. Namun, pembatalan AssetsCo sebenarnya memperluaskan pilihan Malaysia dari segi penjanaan dana dan rakan kongsi, baik tempatan mahupun antarabangsa untuk membina HSR yang terbaik untuk rakyat kita. Penerokaan model baharu bukan sahaja akan memberikan Malaysia fleksibiliti, tetapi juga membuka peluang kepada pelabur dan syarikat antarabangsa. Bagi projek HSR, Malaysia hanya ingin menggubal satu rangka usaha yang mencermin dan memastikan keputusan yang terbaik mengikut realiti dan cabaran yang kita hadapi. Kerajaan Malaysia mempunyai wawasan yang jelas ke mana ia ingin membawa HSR dan bagaimana ia dilaksanakan. Kajian yang sedang dijalankan mengenai daya maju kewangan serta ekonomi terkini sangat menggalakkan setakat ini. Bagi Malaysia, HSR sebagai sebuah projek nasional yang amat penting – berada di landasan yang tepat. Sebagai sebuah negara yang sentiasa terbuka dalam bekerjasama dengan negara luar, Malaysia amat mengalu-alukan potensi penyertaan negara terbabit serta rakan kongsi antarabangsa yang lain apabila tiba masanya nanti.

bottom of page