top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

'Recall system' beri keadilan, perkasa undi rakyat

28 Jun 2021

JOHOR BAHRU - Bait al-Amanah menyokong usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menerusi kaedah Simulasi Pilihan Raya Pecat (PRP) yang bertujuan menyingkirkan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.


Pengerusi Bait al-Amanah, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, inisiatif yang dipanggil 'recall system' itu memberi mandat kepada rakyat di kawasan tertentu yang tidak berpuas hati terhadap wakil rakyat mereka sekiranya tidak berprestasi, tidak menjalankan tugas serta mengambil keputusan bertentangan dengan janji pada pilihan raya umum (PRU).


"Perkara ini sudah dipersetujui ketika mengadakan webinar bagi membincangkan hal ini bersama-sama wakil Bersih 2.0, ahli akademik serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).


"Tindakan ini wajar dibuat memandangkan tidak ada peruntukan undang-undang yang menghalang seseorang wakil rakyat itu boleh melompat parti, malah Fasal 8 Perlembagaan juga menyebut bahawa mereka ada hak untuk bersama-sama dalam mana-mana pertubuhan," katanya.


Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi dan e-hailing di hadapan Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru, Taman Suria di sini pada Ahad.


Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah.


Pada Jumaat Bersih 2.0 dalam satu kenyataan memaklumkan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor telah menghubungi mereka untuk tujuan itu susulan tindakan Shiau Yoon yang mengumumkan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong Perikatan Nasional (PN).


Mengulas lanjut, Sharir berkata, bagi mengatasi lompat parti atau digelarnya politik katak, pertamanya adalah dengan menyaman wakil rakyat secara sivil seperti yang dibuat oleh pengundi Gombak terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Cara lain katanya, melalui 'recall system' itu yang membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kawasan terbabit.


"Memandangkan sistem itu belum ada lagi, maka wujud idea simulasi ini yang menunjukkan ia mudah dilakukan.


"Sebab itu Bersih 2.0 akan mengadakan simulasi ini secara maya untuk mendapatkan tiga peratus daripada pengundi sebagai ukuran bagi menandatangani petisyen terhadap wakil rakyat dan ini hanyalah simulasi," katanya.


Beliau berharap ada juga pihak yang memajukan permintaan 'recall system' ini kepada kerajaan yang akan datang untuk dilaksanakan.


Katanya, perkara itu perlu setelah mengambil kira jumlah yang sangat besar iaitu 20 ahli Parlimen melompat daripada parti asal mereka masuk ke parti lain.


Penggal Parlimen ke-14 ini katanya, paling istimewa kerana ramai yang melompat parti dan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.


"Dengan adanya sistem itu, kita dapat perkasakan undi rakyat dan wakil rakyat pula tidak boleh berbuat sesuka hati mereka. Pengundi mesti ada hak terhadap seorang wakil rakyat bagi menepati janji mereka. Jika tidak, rakyat ada ruang untuk meminta mereka meletak jawatan.


"Saya juga berharap UMNO turut melakukan simulasi yang sama di kawasan wakil rakyat parti itu melompat ke parti lain," katanya.



-Sinar Harian

Comments


bottom of page