top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Remaja yang dimandikan seperti mayat terlepas daripada hukuman penjara

17 Januari 2022

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas seorang remaja yang “dimandikan seperti mayat” kerana cuba mencuri peti derma masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.


Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Halim Aman meringankan hukuman terhadap Daniel Iskandar, 19, dan memerintahkan dia sebaliknya menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam untuk tempoh enam bulan.


Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.


Pendakwaan diwakili oleh timbalan pendakwa raya Norhana Sahat manakala Daniel diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.


Turut hadir peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini dari Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia.


Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie bertindak sebagai pemerhati undang-undang masjid, Masjid Al Islahiah.


Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kepada Daniel kerana cuba mencuri wang masjid pada 8 Jan.


Remaja itu telah mengaku bersalah atas pertuduhan itu.


Kes itu menjadi tumpuan selepas satu video tular muncul, menunjukkan remaja itu 'dimandikan seperti mayat' oleh beberapa ahli jawatankuasa masjid selepas dia ditangkap.

bottom of page