top of page
  • admin

'Rezeki Suri' bantu suri rumah jana pendapatan


JOHOR BAHRU, 28 Dis- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited membantu suri rumah menjana pendapatan menerusi Program Rezeki Suri, yang dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh kurang tiga bulan. Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata program hasil idea Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) itu membolehkan suri rumah menjual 11 barangan asas pilihan rakyat dari rumah mereka. KPDN bersama DPIM akan mengadakan perbincangan peringkat kementerian, berkenaan program tersebut di Putrajaya, minggu hadapan. Menurut Salahuddin inisiatif juga membolehkan golongan B40 membeli barangan dengan harga lebih murah berbanding di kedai antaranya beras, tepung, gula, susu, telur, minyak masak dan makanan kering. Program turut mengambil langkah, mendapatkan bekalan terus daripada pengilang bagi menjimatkan kos kepada suri rumah. "Kita akan bantu dapatkan bekalan terus daripada pihak pengilang, jadi kita boleh putuskan, kita boleh selamatkan mereka daripada tiga hingga empat lapisan orang tengah itu...di samping memberikan pendapatan kepada suri rumah ini secara kecil-kecilan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini malam tadi. Projek rintis inisiatif tersebut, dirancang untuk dilaksanakan di setiap negeri bagi memantau penerimaan dalam kalangan masyarakat. Majlis malam tadi turut menyaksikan pelancaran platform pembayaran dalam talian DPIMPay, khusus bagi kegunaan usahawan DPIM dan perusahaan mikro kecil dan sederhana. Insiatif memanfaatkan usahawan DPIM, kerana kadar fi dikenakan hanya RM0.80 bagi setiap transaksi, berbanding fi RM1.00 bagi usahawan lain.


RTM

bottom of page