top of page
Writer's pictureArissa Azman

RM220 juta bina projek jalan, jambatan di Johor

3 September 2021

MUAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM220 juta bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya serta jambatan di seluruh negeri menerusi Projek Pembangunan Rancangan Johor 5 Tahun (RJ5T).


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, kerja-kerja pembinaan yang sebahagiannya telah bermula sejak tahun ini melibatkan jalan negeri bagi sepanjang 40 kilometer serta tiga buah jambatan.


Menurutya, ia termasuk cadangan bagi membina Jalan Pintas Pekan Nenas ke Jalan Gelang Patah- Ulu Choh, cadangan memperelok selekoh bahaya di Jalan Muar-Labis serta cadangan menaik taraf Persimpangan Jalan Tan Swee Hoe/Jalan Parit Besar di Batu Pahat.


“Selain itu, kerajaan negeri juga melaksanakan cadangan menggantikan pembetung kekotak di Jalan Batu Pahat-Mersing dan cadangan membina jalan alternatif dari Jalan Meta ke Jalan Sekakap, Mersing.


“Justeru, dalam meningkatkan infrastruktur dan prasarana negeri ini, sebanyak RM53.4 juta diperuntukkan kerajaan negeri tahun ini di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai usaha mempergiatkan lagi keseluruhan projek berkenaan,” katanya yang juga ADUN Tenang (BERSATU).


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Progam Kongsi Kerja Cabutan Undi Secara Maya Bagi Kerja Penyelenggaraan Jalan Seluruh Johor, di Dewan JKR Muar, hari ini.


Mohd. Solihan berkata, pelaksanaan Program Kongsi Kerja juga adalah salah satu inisiatif strategik dilaksanakan bagi membuka peluang para kontraktor Johor terlibat dalam penyelenggaraan jalan di negeri ini.


“Oleh demikian, bagi fasa ketiga program ini, anggaran peruntukan sebanyak RM5.2 juta serta 40 pakej turut dibekalkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri membabitkan daerah Batu Pahat, Kluang, Segamat, Tangkak dan Muar pada hari ini.


“Pelaksanaan projek mega ini secara tidak langsung memberikan manfaat kepada ribuan pengguna jalan raya selain menghasilkan peluang pekerjaan yang mampu meningkatkan ekonomi rakyat negeri,” katanya.

Comments


bottom of page