top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

ROS sahkan penangguhan Pemilihan UMNO dibuat secara teratur - Ahmad Maslan

31 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: UMNO hari ini menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan keputusan penangguhan Pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sehubungan itu pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022.


"Pada lewat petang 30 Ogos 2021, saya telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) / Ketua Pengarah Tn Hj Jasri Kasim.


"Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.


"Oleh itu, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Walaupun begitu, katanya mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran 1/4 korum masih perlu diadakan pada tarikh dalam 2021 ini.


Katanya, tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.


Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, pada 6 Ogos lalu dilaporkan berkata, keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.


Katanya, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.


Pada 10 Ogos, Utusan Malaysia pula melaporkan, Jasri berkata, kepemimpinan MKT UMNO hanya boleh berfungsi sebagai caretaker (sementara) sehingga pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.


bottom of page