top of page
  • zaman

Rosmah bersalah terima, minta rasuah projek solar


KUALA LUMPUR, 1 Sept – Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hybrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.


Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaannya.


Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.


Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.


Rosmah, 71, didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.


Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬


Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.


Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

bottom of page