• newsatmy

Runding Dengan UMNO Ibarat Bina Istana Pasir- MP Pembangkang

19 Mac 2021: Tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengadakan rundingan bersama kepimpinan UMNO, baru-baru ini menyebabkan lima Ahli Parlimen pembangkang tampil memberi peringatan kepada beliau.


Peringatan itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking (Warisan); Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (DAP) dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (PKR) dalam satu kenyataan bersama.


Mereka mengingatkan Ahli Parlimen Port Dickson itu supaya tidak cuba mengadakan kerjasama dengan UMNO yang diibaratkan seperti membina ‘istana pasir’(rapuh).


Dalam kenyataan itu, mereka mengatakan bahawa pembangkang perlu mengambil iktibar daripada kewujudan Perikatan Nasional (PN) yang juga umpama ‘istana pasir’.


Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, kata mereka, dibina daripada asas rapuh dan bertahan dengan ugutan berterusan serta resolusi UMNO yang berubah-ubah.


“Jangan sampai kita menjadi seperti mereka,” menurut kenyataan itu.


Anwar, didakwa mengadakan rundingan itu bagi mendapatkan semula mandat kerajaan daripada PN.


Rundingan itu disahkan Anwar dan menegaskan perbincangan masih di peringkat awal, selain tiada sebarang keputusan atau kerjasama dicapai.


Kenyataan sama menyebut, mereka menolak sebarang kerjasama yang dibentuk dengan sokongan pemimpin kleptokrat atau ahli parlimen sedang berdepan tuduhan salah laku atau salah guna kuasa.


Lima ahli parlimen itu turut mahukan negara ini dibina semula dengan asas betul bagi memastikannya tidak runtuh kembali.


“Usaha mendapatkan semula Putrajaya dengan hanya membina mahligai pasir besar dan cantik dipandang, tetapi mudah hancur dihempas ombak adalah tindakan sia-sia,” kata mereka.


“Kerjasama kita mahukan mesti mempunyai satu cita-cita luhur dan sistem nilai sama agar dapat bertahan lebih lama,” katanya.


Mengulas lanjut, lima ahli parlimen itu berkata, pihak pembangkang banyak membazirkan masa untuk mempersoalkan bilangan Ahli Parlimen yang memberi sokongan dan isu calon perdana menteri.


“Kita tidak pernah kekurangan bakat di kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

“Justeru, kita mahu pemimpin pembangkang terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” kata mereka. -PNBBC Portal

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.