top of page
  • newsatmy

RUU Anti-Lompat Parti pastikan politik negara stabil


27 Julai 2022, adalah detik yang amat bersejarah dalam perkembangan politik negara kerana ia menyaksikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sendiri membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti di kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat.


Sebelum ini, empat negeri, iaitu, Sabah, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang, malahan telah meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi menghukum pelompat parti pada 1986, 1991, 1994 dan 2012, tetapi mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Agung bahawa pindaan begini adalah tidak berperlembagaan.


Semua pihak akur dengan bahana gejala melompat parti ini, tetapi hanya Ismail Sabri berbuat sesuatu ke atasnya dengan menjadikan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai salah satu butiran utama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021 antara kerajaan dan PH.


Bermula daripada tarikh ini maka bermulalah tugasan berat yang diletakkan ke atas bahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merangka RUU ini dengan bantuan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).


Sebegitu banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, khususnya daripada parti-parti kerajaan dan pembangkang, tetapi juga dengan pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya telah dilakukan oleh Dr. Wan Junaidi sehingga melayakkan beliau digelarkan sebagai pakar libat urus.


Saya telah dijemput menyertai sebahagian besar daripada sesi libat urus ini dan dapat menyaksikan sendiri kecekalan dan ketenangan Dr. Wan Junaidi menguruskan pihak-pihak yang terlibat yang masing-masing mempunyai pandangan tersendiri yang selalunya bercanggah pula dengan pandangan pihak-pihak lain.


Setelah selesai sesi libat urus ini dilaksanakan maka Dr. Wan Junaidi terpaksa pula membentangkan hasilnya kepada Mesyuarat Jemaah Menteri yang sama ada memutuskan untuk beliau melakukan lebih banyak sesi libat urus atau membangkitkan beberapa persoalan dasar yang perlu dibuat keputusan oleh pihak beliau.


Tatkala berdepan dengan liku-liku yang mencabar, Dr. Wan Junaidi sentiasa mendapat dukungan kuat Ismail Sabri yang sentiasa menzahirkan komitmen ke atas RUU ini dan yang mengambil pendekatan akomodatif selaras dengan prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan di dalam konsep Keluarga Malaysia.


RUU ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April dengan ruang dibuka seluas-luasnya kepada setiap Ahli Dewan Rakyat untuk mengambil bahagian membahaskannya yang berkesudahan dengan kelulusan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti dan memuktamadkannya.


Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Junaidi ini dianggotai oleh semua pihak, di mana Umno diwakili oleh Pengerang dan Padang Rengas, BERSATU oleh Larut, PAS oleh Kota Bharu, PBB oleh Sibuti, DAP oleh Puchong, PAN oleh Sepang, UPKO oleh Tuaran, PKR oleh Kulim-Bandar Baharu dan WARISAN oleh Penampang.


Jawatankuasa ini telah mengadakan tujuh mesyuarat untuk meneliti dan memuktamadkan RUU ini, iaitu pada 15 April, 26 April, 12 Mei, 19 Mei, 7 Jun dan 12 Julai, dengan mengambil kira pandangan bertulis yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan parti.


RUU ini juga telah ditaklimatkan kepada Ahli Dewan Rakyat (Kerajaan) pada 25 Julai dan kepada Ahli Dewan Rakyat (Pembangkang) pada 26 Julai dalam mana pelbagai pertanyaan telah dikemukakan dan pelbagai jawapan telah diberikan oleh Dr. Wan Junaidi bagi memperjelaskan segala butiran yang terkandung di dalamnya.


Pada akhirnya, sudah tidak ada sebab mengapa RUU ini tidak akan mendapat sokongan 2/3 majoriti Ahli Dewan Rakyat setelah terlalu banyak sesi libat urus dilakukan ke atasnya ditambah catatan sejarah kerana buat pertama kalinya RUU ini dihasilkan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.


RUU ini menyatakan dengan jelas apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti itu atau mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti.


RUU ini juga menyatakan dengan jelas apa yang tidak termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti dipecat daripada keanggotaan dalam parti itu, dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau partinya dibubar atau dibatalkan pendaftarannya.


Sebelum ini, banyak tentangan diterima bila mereka yang dipecat daripada keanggotaan dalam parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti kerana dikatakan akan memberi kuasa yang terlalu besar kepada sesebuah parti politik untuk mengawal Ahli-ahli Dewan Rakyat yang boleh membuka ruang untuk disalahguna tetapi ia kini telah diatasi.


Sekarang ini masih ada segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti tetapi ia wajar kerana menyertai suatu parti setelah menang di atas tiket Bebas sememangnya adalah jelas mengkhianati mandat pengundi.


RUU ini pastinya akan memelihara keutuhan prinsip demokrasi, dengan memastikan mandat pengundi di dalam sesuatu PRU akan sentiasa dihormati, malah seseorang Ahli Dewan Rakyat yang kerusinya telah menjadi kosong akibat tindakan melompat parti ini juga kini boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya.


Selain kejayaan peribadi kepada Ismail Sabri, Dr. Wan Junaidi dan semua yang terlibat merealisasikannya, sungguhnya kelulusan ke atas RUU ini adalah satu lonjakan besar yang akan memastikan kestabilan politik tidak tergugat dengan tiada lagi kebimbangan akan berlakunya perubahan kerajaan di tengah penggal akibat gejala melompat parti.


DR. KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

Pegawai Khas Perdana Menteri

bottom of page