top of page
admin

Sabah tidak akan bubar DUN-Hajiji


SANDAKAN, 25 Sept – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan dibubarkan berikutan pembubaran Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)- BN yang dipimpinnya masih mempunyai tiga tahun lagi untuk berkhidmat bagi tempoh satu penggal pemerintahan.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, beliau sebelum ini dikhabarkan bahawa DUN Sabah akan dibubarkan juga jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen tahun ini.


“Kita akan terus memerintah Sabah, ada tiga tahun lagi. Jadi kalau ada cerita-cerita (khabar) bahawa apabila Parlimen dibubar, DUN juga akan dibubar, itu tidak betul kerana ada tiga tahun lagi untuk memerintah Sabah,” katanya ketika berucap pada program Jelajah GRS Batu Sapi di Kampung Lupak Meluas Darat di sini, pada Ahad.


Hajiji yang juga Pengerusi GRS mahu supaya parti itu terus diperkasakan kerana terdiri daripada parti-parti yang mewakili rakyat berbilang kaum.


“Dalam GRS kita ada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan yang terbaru Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta banyak parti lagi yang ingin menyertainya.


“Sampailah masanya kita di Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, keturunan dan kepercayaan agama ini untuk bersatu dalam satu gabungan iaitu GRS,” katanya.

Beliau dalam pada itu mendedahkan bahawa semua komponen parti dalam GRS bersetuju menggunakan logo GRS pada PRU akan datang.


Mengenai kerusi Parlimen Batu Sapi, beliau berkata, GRS akan bekerjasama dengan BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Comments


bottom of page