• newsatmy

Safee harap saingan Liga-M tidak ditangguh

Bernama

Februari 11, 2021 04:45 MYT



SAFEE: Jika ada masalah peningkatan kes selepas ini, saya rasa kita boleh contohi La Liga dan apa dilakukan mereka termasuk pematuhan SOP ketat untuk kekal meneruskan liga. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Penganjuran saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 perlu tetap berjalan dan tidak boleh ditangguhkan lagi, kata penyerang berpengalaman Kuala Lumpur United FC (KLUFC) Mohd Safee Sali.


Mengambil contoh saingan La Liga di Sepanyol, beliau berkata dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta pematuhan terhadap garis panduan tersebut, saingan berkenaan masih berlangsung mengikut jadual dirancang walaupun terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan pemain.


Jelasnya, kerjasama terjalin antara Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan La Liga perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan pendekatan digunakan pengelola Liga Sepanyol itu boleh dipraktikan untuk memastikan kelangsungan saingan Liga-M dalam tempoh mencabar ketika ini.


"Memang kita risau jika ada peningkatan kes COVID-19 liga akan ditangguh, mungkin boleh belajar daripada La Liga, walaupun ada pemain positif COVID-19 liga terus bergerak ke hadapan dalam apa jua situasi.


"Jadi jika ada masalah peningkatan kes selepas ini apabila liga sudah berjalan, saya rasa kita boleh contohi La Liga dan apa dilakukan mereka termasuk pematuhan SOP ketat untuk kekal meneruskan liga," katanya ketika sesi bersama media secara dalam talian anjuran MFL dan La Liga semalam.


Impak COVID-19 menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Premier musim lepas yang bermula pada Mac terpaksa ditangguh sehingga penghujung Ogos manakala beberapa pertandingan utama Liga-M antaranya Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan.


Musim ini, saingan Piala FA kekal dikeluarkan daripada kalendar perlawanan dan saingan liga yang sepatutnya bermula pada 28 Feb terpaksa ditangguh kepada 5 Mac depan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Tiada masalah untuk kita mempelajari dan mengikut yang baik dari mereka (La Liga) dan kita ikut untuk kemajuan liga sendiri. Jadi saya harap tiada lagi liga ditangguh selepas ini jika kes meningkat," kata bekas tonggak skuad kebangsaan itu.


Pada Selasa, MFL mengesahkan saingan Liga-M 2021 akan tetap berjalan pada 5 Mac depan selepas kerajaan bersetuju membenarkan pasukan bertanding dalam saingan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Liga Sepak Takraw (STL) menjalankan sesi latihan berpasukan bermula 15 Feb ini.


-- BERNAMA