top of page
  • admin

Safee Sali bersara, mahu tubuh akademi bola sepak


KUALA LUMPUR, 21 Feb- Pemain bola sepak tanah air, Safee Sali mengumumkan secara rasmi persaraannya daripada arena bola sepak profesional. Safee atau nama sebenarnya, Mohd Safee Mohd Sali, 39 tahun berkata keputusannya mengakhiri kerjaya sebagai pemain bola sepak ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk merencana masa depannya. "Saya tidak akan tinggalkan terus industri bola sepak ini tetapi saya akan membantu industri bola sepak tanah air dengan cara yang lain. Sebagai contoh, berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada kepada seluruh peminat dan pemain muda tanah air," kata Safee kepada pemberita RTM dalam sidang media majlis pengumuman persaraannya di Hotel Sofitel di ibu negara, pagi tadi.

\

Bekas ikon Harimau Malaya itu bercadang untuk menubuhkan akademi bola sepak dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda sekali gus mampu menjadi aset kepada negara. Selain itu, Safee bakal menghasilkan sebuah dokumentari berhubung perjalanan kariernya bergelar pemain bola sepak serta akan melancarkan rancangan 'Sport Tarik' di platform Youtube. Menurut Safee, kejayaan Harimau Malaya mengungguli Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, Indonesia merupakan satu kenangan manis buat dirinya. Beliau pernah memegang rekod sebagai pemain bola sepak Malaysia pertama yang layak ke perlawanan akhir Piala AFC iaitu bersama skuad Johor Darul Ta'zim FC (JDT) pada 2015 dan tahun lepas, bersama Kuala Lumpur City FC (KL City FC). Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata Safee adalah antara pemain yang disayanginya dan persaraan beliau adalah satu keputusan yang tepat. "Safee Sali merupakan seorang pemain yang berpengalaman dengan perjalanan kariernya amat hebat ini, saya rasa dia boleh capai apa yang dia hajatkan. Boleh fokus dengan perkara lain ataupun jadi jurulatih. Apa-apa pun, saya rasa Safee telah membuat satu keputusan yang tepat," jelas Hamidin kepada pemberita RTM.

bottom of page