top of page
  • newsatmy

Sah! Squid Game bakal muncul dengan siri musim kedua

10 NOVEMBER 2021

SIRI drama sensasi dari Korea Selatan di Netflix, Squid Game disahkan bakal bersambung dengan pembikinan musim kedua.


Pengarahnya, Hwang Dong-Hyuk mengesahkan, meskipun kebanyakan rancangan TV di Korea Selatan hanya ditayangkan untuk satu musim, dia tidak mempunyai pilihan selain menunaikan permintaan orang ramai yang mahukan siri berkenaan disambung.


“Terdapat begitu banyak tekanan, begitu banyak permintaan dan begitu banyak dorongan untuk musim kedua.


“Jadi, saya hampir merasakan anda tidak meninggalkan kami sebarang pilihan, tetapi saya akan katakan memang akan ada musim kedua.


“Ia berada di dalam kepala saya sekarang. Saya sedang dalam proses perancangan. Tetapi saya rasa masih terlalu awal untuk menyatakan bila dan bagaimana.


“Jadi saya akan berjanji ini kepada anda, Gi-hun akan kembali dan dia akan melakukan sesuatu untuk dunia,” ujarnya dalam sesi tayangan khas di Los Angeles pada Isnin.


Tambah Dong-Hyuk, dia sebelum ini meninggalkan beberapa elemen terbuka menerusi tayangan sembilan episod siri tersebut untuk diperdebatkan penonton dalam musim kedua seandainya perkara tersebut berlaku.


Siri filem tersebut bukan sahaja mencetuskan ledakan pembelian saham hiburan di negara tersebut.


Malah, ia telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia yang mana filem itu mendahului carta tayangan popular bukan berbahasa inggeris di Netflix sejak mula ditayangkan pada 17 September lalu.

Коментарі


bottom of page