top of page
  • cik skod

Saintis Malaysia terbit buku sains kanak-kanak


Saintis Penyelidikan, Dr Amalina Ebrahim Attia, 36 tahun memiliki sifat ingin tahu sejak dari kecil lagi. Beliau gemar membaca buku-buku bukan cereka dan meminati topik-topik seperti penerokaan angkasa lepas dan sains. Bahkan pernah suatu ketika dahulu, beliau nyaris-nyaris menyebabkan kemalangan di rumah. "Saya bermula dengan menggunakan dapur ibu saya untuk membuat eksperimen. Ada satu kejadian itu kami baru sahaja membeli ketuhar gelombang mikro di rumah. Ibu memberi amaran supaya jangan meletakkan kerajang aluminium (aluminium foil). Saya tanya mengapa dan beliau tetap katakan jangan. Jadi saya pun letaklah dan kemudian ia mengeluarkan percikan api. Barulah saya tahu. Jadi saya harus cuba dahulu dan jangan terus terima apa yang dikatakan. Di situlah minat saya dalam sains dan kajian bermula," kata Dr Amalina, anak bongsu dua beradik.

Berkat kesungguhan dan kegigihannya dalam bidang tersebut, Dr Amalina kini bertugas sebagai penyelidikan di Insitut Kejuruteraan Bio dan Pengimejan Bio di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star). Dengan kepakarannya dalam bidang pengimejan bio, beliau membantu membangunkan peranti untuk kegunaan klinikal yang boleh mengesan tahap kesihatan kulit para pesakit barah kulit dan ekzema. "Peranti perubatan ini kita gunakan di tahap klinikal untuk penyakit kanser kulit atau radang kulit. Dan ia boleh membantu memberikan diagnosis yang lebih mudah dan menguruskan rancangan rawatan untuk pesakit-pesakit sedemikian," jelas Dr Amalina, yang sudah berkhidmat di A*Star hampir sedekad. Sebagai ibu kepada dua cahaya mata, beliau juga kerap mengambil peluang untuk mendedahkan anak-anaknya kepada sains, lebih-lebih lagi kepada anak sulungnya. "Saya ada seorang anak berusia tiga tahun. Dia suka membaca buku dan saya juga membawa dia keluar berjalan-jalan di taman jadi dia boleh tahu apakah itu sains fizikal atau sekitaran yang berada di keliling kami," kata Dr Amalina, yang baru sahaja melahirkan anak keduanya, tahun ini. "Saya melihat ada kekurangan pada buku pembacaan awal sains dengan kandungan tempatan. Jadi saya mahu tutup jurang tersebut," tambahnya.


Maka terlahirlah buku sains kanak-kanak pertama beliau yang bertajuk 'Let's Discover Science, Singapore!', tahun lalu. Buku itu mengambil masa kira-kira tujuh bulan untuk diterbitkan. Menariknya, buku bergambar setebal 32 muka surat itu turut memperkenalkan kanak-kanak kepada destinasi menarik di Singapura seperti Pantai East Coast dan Esplanade.

"Tujuan saya ialah untuk mendekati golongan anak-anak muda kami dengan sains secara asas dan santai. "Dan saya mahu memupuk minat pada golongan itu pada sains dan juga mereka akan menghargai bahawa kepentingan sains fizikal pada kehidupan seharian kami," ujar Dr Amalina. Bagi memupuk interaksi diantara ibu bapa dan anak-anak semasa membaca buku tersebut, ia turut memuatkan elemen realiti tambahan (AR) dimana gambar-gambar boleh diimbas menggunakan telefon bimbit dan beberapa video boleh ditonton. Semua gambar dan video yang terkandung di buku itu juga diambil Dr Amalina sendiri. Buku itu sesuai untuk golongan kanak-kanak pra-sekolah hingga ke peringkat sekolah rendah bawahan.


Buat masa ini, ia diterbitkan dalam Bahasa Inggeris sahaja. Namun, jika diberi peluang, Dr Amalina ingin menterjemahkan buku itu ke dalam Bahasa Melayu. Beliau juga berharap dapat menerbitkan lebih banyak buku berkaitan dengan sains.

bottom of page