top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Saling menyantuni jiran amalan mulia


Agama Islam adalah agama yang sangat mementingkan hubungan persaudaraan dan sentiasa menganjurkan umatnya untuk sentiasa hidup bersatu-padu bagi mengelakkan perselisihan atau perpecahan dalam kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara. Kita hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain dan tidak boleh hidup bersendirian, kerana itulah agama kita menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan yang baik sesama manusia sama ada adik-beradik, sahabat handai atau jiran tetangga.


Imam Nawawi Rahmatullah Ta’ala ada menyatakan bahawa orang yang boleh dianggap sebagai jiran itu adalah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita, orang yang tinggal dalam lingkungan jarak empat puluh buah rumah daripada rumah kita dalam semua arah atau penjuru sama ada dari arah utara, timur, selatan dan barat. Jiran adalah orang yang paling hampir dengan kita terutama untuk meminta bantuan dan berkongsi suka duka mengenai hal-hal keluarga.


Dalam kitab Siyar A’lam An-Nubala’ telah terakam kisah yang mencerminkan keperibadian luhur seorang cicit Nabi s.a.w. Insan yang dimaksudkan disini ialah Ali bin Al-Husain bin Saidina Ali ibn Abi Talib r.a.. Beliau juga dikenali dengan gelaran Imam Ali Zainal Abidin. Beliau mendapat gelaran “Zainal Abidin” yang membawa maksud hiasan ahli ibadah, disebabkan beliau terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah.


Walaupun sedemikian, sepanjang kehidupannya beliau telah berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat akan kebajikan mereka yang berada di sekelilingnya. Beliau sering menghulurkan sumbangan, serta memberi pinjaman kepada mereka yang memerlukan.


Beliau juga sering mengelilingi kota Madinah dengan memikul bungkusan makanan pada setiap malam, lalu meletakkan bungkusan makanan tersebut di hadapan rumah mereka yang memerlukan. Tiada sesiapa pun ketika itu yang mengetahui siapakah yang sering kali menyumbang makanan kepada mereka. Setelah beliau wafat, masyarakat mula menyedari bahawa sumbangan yang mereka terima selama ini datang dari cicit Nabi s.a.w., Ali Zainal Abidin, kerana mereka tidak lagi menerima sebarang bungkusan makanan setelah kewafatannya.


Mengambil kisah sahabat Nabi s.a.w pula iaitu Malik bin Dinar, beliau mempunyai jiran seorang Yahudi. Jirannya itu sengaja membuat saluran tandas menghala ke rumah Malik bin Dinar menyebabkannya terpaksa membersihkan najis dan kotoran yang masuk ke dalam rumahnya saban pagi tanpa mengeluh.


Perkara tersebut berlanjutan sehingga jiran Yahudi tersebut mulai bosan dengan respon dan sikap Malik bin Dinar. Bukan sekadar tidak membalas dengan kemarahan tetapi Yahudi tersebut mendapat senyuman, hadiah dan layanan yang baik daripada sahabat Rasulullah itu.


Suatu hari Yahudi bertanya sebab Malik bin Dinar tidak pernah memarahinya lantas dijawab, “Aku pernah dengar Kekasihku nabi Muhammmad SAW menyebutkan : “Sentiasa Jibril datang kepadaku berkali-kali untuk mengingatkan tentang hak kejiranan sehingga aku ingat jiran akan mendapat hak waris”. Oleh kerana begitu kerap diingatkan oleh Jibril, Nabi SAW menyangka yang jiran akan dinaik taraf sehingga boleh menjadi orang yang boleh mewarisi harta jiran.


Beberapa adab berjiran perlu diamalkan supaya hidup kita menjadi lebih harmoni, bahagia dan tenteram tanpa persengketaan dan bermasam muka. Kita hendaklah menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati jiran sebagai manusia. Tidak bersikap takbur dan sentiasa berbuat baik dengan memberi sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan. Sayangi jiran sepertimana kita menyayangi diri sendiri. Kita berkongsi juadah enak, menziarahi mereka ketika sakit dan bersangka baik dengan tidak melakukan umpatan atau fitnah. Sentiasa bertoleransi terutama yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan sebagainya.


Malah, ketika pandemik Covid-19 melanda negara kita, kita boleh saling menyantuni jiran tetangga kita dengan bertanya khabar dan menghulurkan bantuan semampu kita. Pada saat ini, semua rakyat Malaysia berada di dalam keadaan yang tertekan. Ada yang kehilangan sumber pendapatan, tidak kurang juga yang terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan pada saat getir ini. Realitinya sekarang, kita dapat lihat, yang senang menjadi susah dan susah makin merana, dek kerana wabak COVID-19 yang mula menular di negara ini awal tahun lalu.


Terkini, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #BenderaPutih di platform media sosial. Dengan adanya kemoen sebegini, kita dapat membantu jiran serta golongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera. Kita bantu mana yang mampu. Duit boleh dicari, nyawa tak boleh diganti. Jangan segan, ramai yang ingin membantu. Dan janganlah mengambil jalan mudah dengan melakukan perkara yang tidak sepatutnya.




--PN Online

bottom of page