top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

"Sama-sama kita berdoa" -Muhyiddin


KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan usaha rakyat untuk menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke lembah kerosakan yang lebih mendalam.


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana situasi mutakhir negara tidak seperti waktu dahulu dengan politik yang tidak stabil, ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta imej negara pada mata dunia yang semakin merosot.


“Percayalah ini semua akan dapat kita capai jika kita terus istiqamah dengan semangat kerjasama dan perpaduan erat serta bekerja bersungguh-sungguh sesama kita dan menggerakkan jentera pilihan raya dengan rasa penuh tanggungjawab.


“Sepertimana sebelum ini, saya tegaskan sekali lagi tentang keperluan rakyat memastikan PN menang dalam pilihan raya bagi menentukan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik, cemerlang dan gemilang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.



Muhyiddin berkata beliau gembira apabila telah mencapai persetujuan untuk bergerak atas nama jentera pilihan raya PN sahaja sepanjang tempoh berkempen.


Katanya, ini merupakan isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa PN merupakan pilihan terbaik untuk menerajui negeri ini selepas PRU nanti.


“Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan pilihan raya ini tidak terganggu dengan kejadian banjir yang sudah mula berlaku sekarang ini atau situasi buruk yang menyebabkan rakyat tidak boleh melaksanakan tanggungjawab memilih,” katanya.

bottom of page