top of page
admin

Sambutan Hari Malaysia simbol penyatuan rakyat: Muhyiddin

16 sept

Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan bersempena sambutan Hari Malaysia menyifatkan ia sebagai satu simbol penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.


Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata tarikh 16 September adalah hari bersejarah buat negara dan mengajak orang ramai untuk menghargai hasil perjuangan para pemimpin terdahulu.

“Tanggal 16 September merupakan satu lagi tarikh bersejarah bagi negara kerana pada tarikh ini terbentuknya persekutuan Malaysia yang menggabungkan semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kejayaan ini adalah hasil perjuangan para pemimpin terdahulu yang mahu melihat kewujudan sebuah negara yang berdaulat, merdeka, harmoni, maju, makmur dan sejahtera.


“Marilah kita hargai segala pengorbanan mereka dengan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan perpaduan dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Muhyiddin lagi, perpaduan dan keharmonian yang dikecapi negara akan dapat terpelihara jika rakyat terus bersatu padu serta saling hormat menghormati, sambil menegaskan sambutan Hari Malaysia adalah simbol penyatuan semua rakyat seluruh negara.

“Hal ini dapat kita capai jika kita terus berpegang pada prinsip saling menghormati, bantu membantu, bertoleransi dan bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Nilai-nilai murni seperti inilah yang membawa kejayaan kepada kita sewaktu berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 sedikit masa dahulu.

“Sambutan Hari Malaysia merupakan simbol penyatuan rakyat Malaysia daripada pelbagai pelbagai kaum, latar belakang dan keturunan yang sekali gus menjadi tonggak kekuatan Malaysia selama ini,” ujarnya lagi.


Dalam amanatnya lagi, Muhyiddin juga menggesa orang ramai untuk menghayati semangat Perjanjian Malaysia demi menjaga keamanan dan perpaduan yang dikecapi selama ini.

“Marilah kita perkukuhkan kesepaduan Malaysia dengan sentiasa menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Sama-samalah kita jaga dan pelihara Malaysia yang kita cintai ini.

“Selamat Hari Malaysia,” ujarnya lagi

Comments


bottom of page